Fauzi Nawawi dan XROOV Kecewa Layanan di RX-Z Members, Tarik Diri Dari Penajaan Event 125Z

Kuala Terengganu, 24 September 2025 – Pelakon terkenal Fauzi Nawawi, yang juga duta rasmi jenama cermin mata XROOV, hadir dalam sidang media khas bersama pihak syarikat untuk meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima ketika acara RX-Z Members di Stadium Gong Badak, Terengganu pada 22–23 Ogos lalu.
Fauzi menyatakan rasa terkilan kerana kehadirannya tidak diumumkan kepada pengunjung, sehingga ramai peminat yang datang dari jauh gagal menemuinya.

“Saya tidak menjangka untuk naik pentas; sekadar pengumuman lokasi saya di booth pun sudah memadai supaya peminat dapat bertemu. Ramai peminat datang dari Sabah dan Sarawak, tetapi kecewa kerana tidak bertemu. Saya bukan mahu dipuji, cuma minta sedikit penghargaan. Tidak sampai seminit pun untuk umum nama saya. Harap selepas ini penganjur lebih profesional,” jelas Fauzi.
Beliau menambah bahawa keadaan sesak serta liputan telefon yang terputus turut menyukarkan peminat untuk menghubunginya.
Pengasas XROOV, Rusydina Norman, menyatakan pihaknya amat kesal kerana hak eksklusif yang dipersetujui dalam perjanjian telah dicabuli oleh penganjur.
“Menurut perjanjian, hanya XROOV diberi hak eksklusif. Namun semasa acara, penganjur sendiri memakai cermin mata jenama lain di pentas utama, yang mencalar imej kami,” jelas Rusydina.
Kerjasama yang pada awalnya dirancang untuk mencapai jualan sehingga 3,000 unit cermin mata gagal dilaksanakan dengan sempurna, kerana promosi tidak dijalankan seperti dijanjikan, mengakibatkan syarikat menanggung kerugian besar.
Susulan kejadian ini, XROOV mengumumkan penarikan diri daripada penajaan Event 125Z, kerana penganjur didakwa hanya mementingkan keuntungan kewangan tanpa menghargai semangat kolaborasi.
“Kami tarik diri kerana mereka tidak mahu berkolaborasi. Mereka hanya mahukan duit. Setelah perjanjian dan logo perdagangan disiapkan, mereka pula membatalkan. Jika mereka tidak melihat ini sebagai kerjasama dua pihak, saya tidak dapat teruskan,” kata Rusydina.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya mengalami kerugian kerana stok cermin mata penajaan tidak dikembalikan sepenuhnya walaupun diminta selepas pembatalan, dengan sembilan pasang masih belum dipulangkan.
Selain itu, Rusydina mendakwa menjadi mangsa fitnah apabila salah seorang penganjur memuat naik kenyataan yang menjatuhkan imejnya sebagai optician di laman Facebook Ashwan Racing.
“Dia perlu memohon maaf secara terbuka. Kenyataan itu menjejaskan imej saya dan mengurangkan nilai branding,” tegasnya.
XROOV menegaskan dua isu utama mereka ialah produk yang tidak dipulangkan serta penyebaran fitnah di media sosial, sebelum akhirnya mengambil keputusan menarik diri sepenuhnya daripada kolaborasi tersebut.
Credit: Suara Merdeka