Festival Cita Rasa Warisan @Kuala Lumpur 2025 Berakhir Meriah, Bukti Warisan Budaya Terus Relevan – JWN

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Festival Cita Rasa Warisan @Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung bermula 12 September lalu sempena Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni.




Penutup ini sekali gus menandakan kejayaan penganjuran yang berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat sepanjang lima hari acara berlangsung.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), YBrs. Encik Mohamad Muda bin Bahadin menyifatkan festival kali ini sebagai sangat berjaya, bukan sahaja kerana sambutan orang ramai, tetapi juga kerana ia memperlihatkan kesedaran semakin tinggi terhadap pemeliharaan makanan, seni dan budaya warisan negara.
“Alhamdulillah, program kali ini amat berjaya. Kita lihat sendiri ramai yang hadir ke pameran, termasuk golongan belia dan pelajar universiti. Pameran makanan warisan yang diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan mendapat perhatian besar, malah replika makanan yang kita sediakan kelihatan begitu realistik sehingga ada yang teruja untuk menyentuhnya walaupun sudah dinyatakan sebagai pameran sahaja,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkenalkan semula makanan tradisional sebagai warisan kebangsaan bukan sekadar untuk tatapan, tetapi juga untuk memastikan generasi muda lebih menghargai sejarah, identiti dan keunikan yang dimiliki Malaysia.


Selain pameran makanan, pentas utama festival turut dimeriahkan dengan persembahan seni budaya warisan seperti Randai, Mek Mulung, Dikir Barat dan pelbagai persembahan tradisi lain.





Suasana penuh meriah itu menggabungkan rasa, bunyi dan warna-warni budaya pelbagai negeri, sesuai dengan tema festival iaitu “Rasa Negeri, Dan Budaya”.
Lebih istimewa, festival kali ini turut menyaksikan penyertaan daripada masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak. Kehadiran generasi muda dan belia jelas menambah seri acara, membuktikan warisan bukan hanya milik generasi lama tetapi terus mendapat tempat dalam jiwa masyarakat kini.




Menurut beliau, kejayaan festival ini juga menjadi pemangkin kepada program seterusnya. Selepas penutupan festival di Taman Tasik Titiwangsa, JWN dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneruskan kesinambungan dengan penganjuran Festival Cita Rasa Warisan @IPT di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang pada minggu pertama Oktober.
Festival edisi kampus ini bakal menampilkan pelbagai juadah tradisional, hasil kreativiti belia, persembahan seni budaya serta aktiviti interaktif yang lebih segar dan dekat dengan golongan muda.
“Kita harapkan program-program seperti ini dapat menggemilangkan lagi produk warisan kita, khususnya dalam seni, budaya dan makanan. Ia bukan sahaja menyemarakkan kecintaan kepada khazanah bangsa, malah berpotensi menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Festival Cita Rasa Warisan @Kuala Lumpur 2025 bukan sahaja mencatat kejayaan dari sudut jumlah pengunjung, tetapi juga dari segi impak. Ia membuktikan warisan kulinari, seni dan budaya Malaysia kekal relevan serta berupaya menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai kaum dan generasi.




Antara tarikan utama festival ialah lebih 30 gerai kulinari warisan negeri yang menawarkan pengalaman rasa autentik dan tradisional kepada para pengunjung. Setiap gerai menampilkan juadah yang bukan sahaja lazat, tetapi juga sarat dengan sejarah dan nilai budaya.
Antara sajian warisan yang mencuri tumpuan ialah Lontong Darat, Lemang, Rendang Tok dan Masak Lemak Itik dari Semenanjung, diikuti dengan hidangan ikonik seperti Laksam, Asam Pedas Melaka serta Penang Char Kway Teow yang melambangkan keunikan negeri masing-masing. Dari Borneo pula, keistimewaan Ambuyat, Linopot, Laksa Sarawak dan Kolok Mee menonjolkan kepelbagaian rempah dan tekstur, manakala Celorot, Cendol serta Keropok Lekor pula menjadi pilihan pencuci mulut dan snek tradisional yang menyegarkan.

Selain itu, Rasa Layan Kari: Sensasi Kari Malaysia turut menjadi tumpuan utama dengan 20 gerai menyajikan hidangan berasaskan kari yang kaya rempah dan aroma. Antara menu popular ialah Nasi Briyani Kari Kambing yang berempah dan lembut, Nasi Minyak Kari Ayam yang klasik serta Nasi Ganja Pegheleh, Ayam Bawang dan Curry Daging Padu yang kreatif memikat selera pengunjung muda dan dewasa. Lebih unik, Kenduri Kari Malaysia 68 yang menampilkan kari sepanjang 68 kaki diedarkan secara percuma kepada lebih 2,400 pengunjung, sebagai simbolik ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Inisiatif ini bukan sahaja menjadi tarikan visual, malah satu pengalaman kuliner yang tidak dapat dilupakan.

Festival ini juga menekankan aspek pendidikan dan interaksi. Pengunjung bukan sekadar menikmati hidangan, malah berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Kuiz Warisan & Teka-teki Makanan Tradisional yang menguji pengetahuan budaya, serta bengkel Miniatur Kraf Makanan Warisan yang membolehkan mereka menghasilkan replika kreatif makanan tradisional.






Tidak ketinggalan, program kulinari khas turut mengangkat festival ini ke tahap lebih eksklusif. “Ketuk-ketuk Senduk Mak Chef” bersama Chef Liza membuka ruang praktikal memasak, manakala “Masak Bersama Guru” menampilkan gandingan Chef Florence Tan, Dr. Ekaterina Rashidin dan Chef Yang Jamil, dengan Chef Razman bertindak sebagai juri masakan.
Program “Sembang Santai – Aroma Nostalgia” yang dikendalikan oleh Chef Zam dan Chef Arthur pula memikat pengunjung dengan perkongsian kisah dan pengalaman mereka, sementara inisiatif inklusif melibatkan anak-anak istimewa memasak hidangan warisan memberi sentuhan inspirasi yang menyentuh hati.



Turut menyerikan festival ialah penampilan pempengaruh media sosial Liana Beep Beep, Fendi dan Lipur Desa, serta kehadiran chef cilik Adik Mayah dan Adik Haziq yang mencuri perhatian dengan bakat muda mereka.

Dengan kejayaan penganjuran yang begitu menyeluruh ini, Festival Cita Rasa Warisan @Kuala Lumpur 2025 terbukti bukan sekadar pesta makanan dan budaya, tetapi sebuah platform menyatukan masyarakat, mendidik generasi, dan mengangkat warisan negara ke persada antarabangsa. – UTV





