Forum CEO Himpun 200 Jenama Besar Perkasa Strategi Global

  • August 15, 2025
  • 3 min read
Forum CEO Himpun 200 Jenama Besar Perkasa Strategi Global

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2025 – Lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa bernilai ratusan bilion ringgit berhimpun di ibu negara hari ini sempena National CEO Forum 2025 (NCF2025), bagi merangka pelan strategik memperkukuh daya saing jenama Malaysia di pentas global menjelang 2026.

Antara nama besar yang hadir termasuk Tabung Haji, Tabung Haji Travel, Sri Sutra Travel, Saudi Airlines, Kino Himitsu dan Beras Jasmine, yang secara kolektif dianggarkan mencatat nilai jualan ratusan bilion ringgit.

Forum eksklusif yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh Muslim Insiders Chamber of Commerce bersama KNKV Group sebagai Penganjur Bersama (Co-Organizer), dengan sokongan CTOS Data Systems selaku Due Diligence Partner, SIRIM QAS International (Innovation Partner), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) (Strategic Partner), dan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai Legal Partner.

Acara kali ini mengangkat tema “Brand Growth and Focus 2026”, susulan amaran kajian antarabangsa Interbrand (2024) yang mendedahkan jenama global kehilangan nilai belum direalisasi berjumlah USD200 bilion (RM947 bilion) dalam tempoh dua tahun lalu akibat strategi jangka pendek dan kurang fokus pada pembangunan jenama jangka panjang.

Malaysia sendiri kini berada di kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025 dengan skor 46.1 (Brand Finance, 2025), meletakkan negara di persimpangan penting sama ada memperkukuh strategi atau berisiko kehilangan daya saing serantau.

Presiden Muslim Insiders Chamber of Commerce merangkap CEO KNKV Group, Prof. Adj. Hj Adam Richman, menegaskan bahawa pemerkasaan jenama tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama.

“Usahawan perlu berkolaborasi, menyatukan sumber dan pasaran agar lebih berdaya tahan menghadapi krisis. Bila bergerak secara berjemaah, kekuatan lebih besar berbanding bergerak sendirian,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa landskap perniagaan menjelang 2026 akan dipengaruhi oleh kemunculan kecerdasan buatan (AI) serta perubahan pasaran global yang pantas, menjadikan kerjasama strategik sebagai kunci utama kelangsungan perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems, Lee Shin Mei, mengingatkan bahawa ekuiti jenama adalah aset yang nilainya boleh berubah dengan pantas mengikut pasaran.

“Peranan CTOS adalah membantu pemimpin perniagaan mendapatkan kecerdasan data dan pandangan pasaran yang tepat untuk melindungi serta mengembangkan nilai jenama mereka,” jelasnya.

NCF2025 menampilkan taklimat kecerdasan pasaran oleh CTOS meliputi kesihatan jenama, trend kredit dan prospek keyakinan pengguna 2026; pendedahan data daripada Interbrand dan Brand Finance untuk konteks industri Malaysia; serta sesi meja bulat tertutup mengikut sektor bersama CEO dan pembuat dasar.

Selain itu, forum ini membuka peluang jaringan berimpak tinggi antara pemimpin korporat, GLC dan agensi kerajaan, dengan pelan susulan menerusi siri pertemuan berkala setiap suku tahun bagi memantau perkembangan jenama yang terlibat.

Dengan gabungan kuasa jenama bernilai bilion ringgit, strategi berasaskan data, dan kerjasama rentas industri, penganjur yakin NCF2025 akan menjadi pemangkin penting bagi memacu daya saing ekonomi Malaysia ke tahap seterusnya di pasaran serantau dan global.

Maklumat lanjut: www.nationalceoforum.com
Strategi kreatif jenama: www.knkvgroup.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *