Gotong-Royong Sekampung Semarakkan Sambutan Hari Malaysia & 100 Tahun Kampung Jenjarom

  • September 30, 2025
  • 2 min read
Gotong-Royong Sekampung Semarakkan Sambutan Hari Malaysia & 100 Tahun Kampung Jenjarom

Jenjarom, 27 September 2025 – Lebih 300 penduduk Kampung Jenjarom turun padang menyertai Program Gotong-Royong Sekampung sempena Hari Cuci Malaysia 2025 yang dianjurkan serentak di seluruh negara oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Program ini bukan sahaja bertujuan mencatat Malaysia Book of Records dengan sasaran 100,000 penyertaan, malah turut digabungkan dengan pelancaran rumah contoh PG Realty Sdb Bhd, sambutan Hari Malaysia, serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Ketua Kampung Jenjarom merangkap Pengerusi JPKK, Abdul Alim Hafiz bin Bahru, berkata program berkenaan bukan sekadar aktiviti kebersihan, tetapi menjadi wahana untuk mengeratkan ukhuwah penduduk.

“Tahun lalu penyertaan dicatatkan 50,000 orang. Tahun ini, dengan semangat Malaysia Madani, kerajaan berusaha menggandakan penyertaan. Di Jenjarom, kita jadikan ia lebih bermakna kerana ia turut dikaitkan dengan sambutan 100 tahun kampung pada tahun 2026,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan taman, zumba, pertandingan mewarna, pakaian beragam, penyerahan Buku dan Sijil Desa Madani, serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik seperti basikal BMX, telefon pintar dan barangan elektrik.

Encik Yong Keh Chyn

Ahli Majlis MP Kuala Langat Zon 6, Encik Yong Keh Chyn, pula menegaskan program ini menjadi platform kesedaran menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat.

Kita mahu semua generasi, termasuk kanak-kanak, belajar pentingnya menjaga kebersihan. Malah, kita lihat pelbagai kaum berganding bahu menjayakan gotong-royong kali ini. Ia memberi impak besar kepada imej kampung dan sikap masyarakat sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras N51 Dun Sijangkang, YBhg. Datuk Zurihan bin Yusop, menekankan nilai gotong-royong sebagai budaya warisan yang wajar dipertahankan semasa program sambutan pada hari yang sama.

“Hari ini kira-kira 300 orang hadir membantu memindahkan sebuah rumah keluarga asnaf ke tapak wakaf baharu. Tahun lalu rumah pertama berjaya dipindahkan, dan kali ini rumah kedua pula selesai dialihkan. Inilah semangat ‘sambatan sekampung’ yang diwarisi turun-temurun,” jelasnya.

Menjelang sambutan 100 tahun Kampung Jenjarom pada tahun 2026, pelbagai program telah dirangka termasuk pertandingan memancing kampung pada November ini serta siri ceramah di surau-surau sekitar.

Abdul Alim Hafiz menambah, visi utama sambutan 100 tahun adalah mendepani arus urbanisasi dengan memastikan pembangunan seimbang tanpa menjejaskan kehijauan kampung.

“Kami mahu kampung terus maju, harmoni dan terancang walaupun dikelilingi projek perumahan dan industri besar. Harapannya, anak jati dan penduduk baharu bersama-sama menyemarakkan semangat 100 tahun Jenjarom,” katanya.

Program sehari suntuk ini berlangsung meriah dengan suasana penuh perpaduan, sekali gus menzahirkan aspirasi Malaysia Madani di peringkat akar umbi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *