“Isu kemalangan dan nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora”
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia JPJ memandang serius
insiden yang telah berlaku ini melibatkan lima (5) pelajar Universiti Sultan
Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di
Kilometer (Km) 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Terowong Menora, pada 12 Mei, lalu. Dalam kejadian tengah
malam itu, nahas membabitkan kereta jenis Honda City dengan dua (2)
treler yang masing-masing bermuatan besi dan mozek. Pihak Pengurusan
tertinggi dan seluruh warga kerja JPJ mengucapkan salam takziah kepada
keluarga mangsa nahas. Justeru itu, JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan
mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia. Tindakan
siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP)
bersama-sama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang
dilaksanakan untuk menentukan bentuk tindakan undang-undang yang
boleh diambil.
Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan
pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD
dan JPJ, Permit dan Lesen Pengendali boleh digantung atau dibatalkan
berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat
- Manakala, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil
oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan
(APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah. Selain itu, siasatan PDRM juga akan menentukan sabitan kesalahan di
bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, kepada pemandu terbabit untuk
hukuman Mahkamah serta, pemandu terbabit juga akan hilang
kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen
memandu selama tempoh yang ditentukan Mahkamah.. Untuk makluman, hasil semakan dalam pengkalan sistem mySIKAP JPJ
mendapati, pemandu treler terbabit mempunyai 8 rekod kesalahan yang
telah selesai dan satu (1) rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata
demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan
Raya (KEJARA). Jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi
kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu. JPJ ingin menegaskan bahawa usaha JPJ termasuk pelaksanaan
Larangan Kenderaan Barangan (Road Ban) sempena Perayaan Hari
Raya Aidilfitri Tahun 2022 lalu adalah bermatlamat untuk memastikan
nahas seperti ini dapat dielakkan sekaligus menurunkan kadar
kemalangan di Malaysia.
Pada masa sama, semua pengendali syarikat, pemandu dan pemilik
kenderaan perdagangan disarankan untuk sentiasa mematuhi segala
peraturan dan undang-undang jalan raya bagi meningkatkan tahap
keselamatan jalan raya sekaligus mewujudkan ekosistem jalan raya yang
selamat di negara ini. Diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku
lagi pada masa akan datang.
IBU PEJABAT
JABATAN PENGANGKUTAN JALAN
MALAYSIA