Jalinan kerjasama stategik beberapa kementerian dan agensi membantu harga barangan keperluan berpatutan..
PUTRAJAYA, 25 APRIL 2022 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tan Sri Noh bin Haji Omar berkata, jalinan kerjasama tersebut merangkumi perkongsian kepakaran, kemudahan infrastruktur dan pembiayaan kepada golongan usahawan.
Objektifnya adalah untuk mewujudkan rantaian pengeluaran dan pemasaran barangan produk makanan supaya dapat disalurkan kepada rakyat dalam kuantiti yang mencukupi dan harga yang berpatutan.
Menurut beliau, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama ANGKASA sedang giat mewujudkan rantaian pemborongan dan peruncitan bagi mendapatkan bekalan barangan secara pukal dan menjualnya di sektor peruncitan dengan lebih murah.
Tan Sri Noh berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Bazar Jualan Murah Raya KUSKOP 2022 pada hari ini (25 April 2022) di Putrajaya.
Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Setiausaha (KSU) KUSKOP, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad; Timbalan KSU (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri bin Salleh; Pengerusi Eksekutif SKM, Haji Zazali Haron; Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah.
Bazar Jualan Murah Raya KUSKOP 2022 anjuran KUSKOP dengan kerjasama agensi di bawahnya serta ANGKASA bermatlamat untuk membantu rakyat mendapatkan barangan asas dengan harga yang berpatutan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Program yang berlangsung selama empat hari itu turut dimeriahkan dengan aktiviti jualan produk koperasi selain jualan ‘Happy Hour’ produk barangan asas di bawah projek Barangan Asas 100 (BA100) ANGKASA yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya.