Karnival Kesenian Islam & Malam Mahabbah Madani Tambun 2025 – Ribuan Dijangka Hadir 13 Julai di Masjid Jamek Al-Amin

  • July 11, 2025
  • 2 min read
Karnival Kesenian Islam & Malam Mahabbah Madani Tambun 2025 – Ribuan Dijangka Hadir 13 Julai di Masjid Jamek Al-Amin

IPOH, 11 Julai – Sempena sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah, Parlimen Tambun menganjurkan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani bertemakan “Hijrah Membina Ummah Madani” pada Ahad, 13 Julai 2025 bertempat di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Ipoh, bermula seawal 5.30 pagi hingga 11.00 malam.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyemarakkan aktiviti Islamik dan kerohanian di peringkat komuniti, di samping memupuk semangat hijrah dalam diri serta masyarakat setempat.

Menurut pihak penganjur, karnival ini turut menjadi medan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat menerusi penghayatan makna hijrah dalam konteks pembangunan rohani serta transformasi kendiri yang berlandaskan ajaran Islam.

Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, menyokong penuh penganjuran ini dan mencadangkan agar program serupa diperluaskan ke sekolah-sekolah dalam Parlimen Tambun. Beliau turut meluluskan sumbangan tunai khas kepada semua sekolah rendah dan menengah di kawasan berkenaan.

Antara pengisian menarik sepanjang hari termasuk demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran, serta persembahan nasyid daripada kumpulan popular tanah air seperti UNIC, Raihan dan Mirwana.

Turut diadakan ialah pertandingan nasyid antara sekolah, serta Forum Hijrah bersama pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa, dikendalikan oleh moderator Kamil Munim.

Bagi menyemarakkan budaya solat berjemaah, kempen “Solat Subuh Macam Jumaat” akan dianjurkan bersama kehadiran selebriti seperti Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak, Qawiyaro dan Shamsul GhauGhau.

Malam Mahabbah Madani pula akan diserikan dengan persembahan qasidah, bacaan doa, penyerahan sumbangan, dan selawat beramai-ramai, menjadikannya penutup yang penuh penghayatan.

Aktiviti sekitar masjid pula menawarkan pelbagai penyertaan seperti street soccer, gusti lengan, pertandingan memasak, larian amal dan kenduri rakyat. Pengunjung juga berpeluang bertemu pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dalam tazkirah khas yang menyentuh hati dan penuh mesej kasih sayang serta keinsafan.

Selain itu, program turut merangkumi konvoi motosikal belia, gotong-royong membersihkan kubur, Jualan Rahmah, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan, gunting rambut dan servis penukaran minyak hitam percuma, serta cabutan bertuah, termasuk pameran khas bas perkhidmatan awam.

Penganjuran program ini mengangkat aspirasi Malaysia Madani, dengan semangat keterangkuman dan keharmonian yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama membina sebuah komuniti yang sejahtera dan bersatu. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *