KEMENTERIAN DIGITAL DAN MDEC PERKASA PENDIDIKAN MASA HADAPAN MELALUI PROJEKRINTIS “AI-POWERED CLASSROOM” DI SARAWAK

SARAWAK, 12 FEBRUARI 2026 – Ketua Setiausaha Kementerian Digital,
Yang Berbahagia Datuk Fabian Bigar, hari ini telah mengadakan lawatan
kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan (SK) St. James Quop, Padawan.
Sekolah ini merupakan sekolah yang telah dipilih sebagai Sekolah Angkat
MADANI di bawah naungan Kementerian Digital.

Fokus utama lawatan adalah untuk memantau perkembangan semasa program Sekolah Angkat MADANI, di samping meninjau pelaksanaan projek rintis Proof-of-Concept (PoC) bilik darjah berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan
“AI-Powered Classroom” yang sedang dijalankan di sekolah tersebut.

Inisiatif Projek PoC yang dilaksanakan di sekolah ini diterajui oleh Perbadanan
Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kementerian
Pendidikan Malaysia merupakan langkah strategik bagi menilai keberkesanan
integrasi teknologi AI. Pada masa yang sama, ia bertujuan memperkasakan
sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), sekali gus merapatkan jurang digital
di kawasan luar bandar.

Bagi fasa pertama yang dijalankan sejak Ogos 2025, projek rintis PoC ini
dirangka khusus bagi membudayakan teknologi AI dalam ekosistem
pendidikan. Selain bertujuan melonjakkan potensi pembelajaran murid secara
individu, inisiatif ini turut memfokuskan kepada pemerkasaan kompetensi digital
dalam kalangan tenaga pengajar serta pentadbir. Usaha ini adalah selaras
dengan aspirasi Sekolah Angkat MADANI yang komited meningkatkan
kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memacu kecemerlangan
sekolah-sekolah di bawah naungannya.

Kejayaan pelaksanaan projek di SK St. James Quop ini dipacu oleh sinergi
strategik yang utuh antara sektor akademik dan pemain industri gergasi
teknologi. Gabungan rakan strategik yang terdiri daripada MyDIGITAL
Corporation, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Microsoft Malaysia, Intel Malaysia, Dell
Technologies, Vector InfoTech Pandai Education, Chumbaka Sdn Bhd,
dan APR Electronic Services telah memainkan peranan penting dalam
menyumbangkan kepakaran teknikal, penyediaan peranti canggih, aplikasi
pendidikan berteraskan AI, serta dana latihan bagi memastikan ekosistem
pendidikan digital yang holistik dapat direalisasikan di sekolah ini.


Semasa lawatan tersebut, delegasi Kementerian Digital turut berpeluang
menyaksikan demonstrasi praktikal penggunaan solusi teknologi oleh murid
dan guru. Seterusnya, lawatan diakhiri dengan sesi penyerahan sumbangan
peralatan seperti komputer riba berteraskan AI, peranti digital dan papan
pintar (Smart Board) daripada rakan-rakan strategik sebagai simbolik sinergi
strategik terhadap transformasi digital di sekolah tersebut.


Inisiatif yang dilaksanakan di SK St. James Quop ini merupakan manifestasi
jelas komitmen kerajaan dalam memastikan tiada murid yang ketinggalan
daripada arus perdana ekonomi digital. Langkah ini bukan sahaja selaras
dengan objektif Malaysia MADANI, untuk melahirkan dan memantapkan nilai
individu serta masyarakat. Seterusnya, menjadi pemangkin utama dalam
mempersiapkan generasi muda Ke Arah Negara AI 2030 melalui inovasi yang
inklusif dan mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *