Koperasi Aman & Nusa Kapital Lancar Pelaburan Syariah Digital 7%

  • September 24, 2025
  • 3 min read
Koperasi Aman & Nusa Kapital Lancar Pelaburan Syariah Digital 7%

Kuala Lumpur, 24 September 2025 – Koperasi Aman Berhad (KOPERAB) dan Nusa Kapital Sdn Bhd hari ini memeterai kerjasama strategik melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Usahasama ini merupakan langkah penting dalam memperluas akses pembiayaan alternatif kepada koperasi di seluruh Malaysia.

Melalui kerjasama ini, KOPERAB akan memanfaatkan platform pembiayaan rakan setara (P2P) milik Nusa Kapital untuk menyediakan pilihan pembiayaan yang lebih fleksibel dan telus kepada para anggotanya.

Usaha ini bertujuan memperluaskan akses modal, khususnya bagi sektor koperasi, serta menggalakkan amalan pembiayaan bertanggungjawab.

Dalam temu bual eksklusif, CEO Nusa Kapital, Izmi Marican, menjelaskan bahawa sejak penubuhan syarikat pada 2017, platform mereka fokus kepada dua matlamat utama: membantu peniaga mendapatkan pinjaman dan memberikan pulangan pelaburan lebih baik.

“Banyak pelabur kini mendapat keuntungan terlalu rendah atau tertekan dengan risiko. Platform kami memadankan peniaga yang memerlukan pinjaman dengan pelabur yang ingin memperoleh pulangan lebih baik, sambil mematuhi prinsip syariah sepenuhnya,” kata Izmi Marican.

Beliau menambah bahawa sejak penubuhan, Nusa Kapital telah memfasilitasi pelaburan lebih RM200 juta, daripada projek kecil RM5,000 hingga projek besar seperti pembiayaan untuk KTM dan ETS.

Sementara itu, CEO KOPERAB, Haji Mohd Marzuki bin Yasoa, menegaskan bahawa anggota koperasi kini boleh melabur secara selamat melalui koperasi mereka sendiri.

“Dengan 16,000 koperasi dan 7.3 juta anggota di Malaysia, banyak koperasi mempunyai lebihan dana yang boleh dilaburkan. Melalui kerjasama ini, dana lebihan koperasi boleh digunakan untuk pelaburan bersama Nusa Kapital, dengan pulangan minimum 7% setahun, lebih tinggi daripada KWSP atau ASB,” jelas Haji Mohd Marzuki.

Beliau menambah bahawa pendekatan koperasi berbeza daripada institusi kewangan konvensional.

“Kami tidak sekadar menyalurkan dana, kami turut memantau aktiviti perniagaan mereka, memastikan pelaburan membawa hasil dan membantu mereka menjadi usahawan berjaya.”

Kerjasama ini juga memberi peluang pendidikan dan latihan kepada anggota koperasi, serta membuka ruang pelaburan dalam sektor perniagaan, pelancongan, hotel, dan kedai elektrik.

Semua aktiviti pelaburan mendapat kelulusan Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), memastikan kepatuhan dan keselamatan pelaburan.

Izmi Marican menekankan bahawa Nusa Kapital menekankan pendekatan “humanize” dalam pengurusan pelaburan.

“Kami bukan sekadar melihat nombor. Kami memahami keadaan peniaga, keperluan mereka, dan bekerjasama secara hands-on bagi memastikan kejayaan perniagaan mereka.”

Majlis ini diakhiri dengan jamuan tengah hari berkonsepkan rangkaian perniagaan, memberi peluang kepada para pihak berkepentingan untuk membincangkan inisiatif serta peluang masa depan hasil daripada kerjasama ini.

Dengan kerjasama ini bukan sahaja akan memperkasa gerakan koperasi di Malaysia, tetapi juga menyediakan ekosistem pelaburan syariah digital yang lebih inklusif dan menguntungkan, sekaligus membuka peluang baharu untuk usahawan dan pelabur berkembang bersama-sama. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *