Kota Bharu Dicalonkan Sebagai “World Craft City” di Bawah World Crafts Council

  • September 9, 2025
  • 2 min read
Kota Bharu Dicalonkan Sebagai “World Craft City” di Bawah World Crafts Council

KOTA BHARU, 7 SEPTEMBER 2025 – Malaysian Craft Council (MCC) hari ini menganjurkan Majlis Penandatanganan Plak Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” di bawah pengiktirafan World Crafts Council (WCC).

Majlis berprestij ini berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu, dan merupakan langkah rasmi bagi mengemukakan pencalonan Kota Bharu ke peringkat antarabangsa.

Pencalonan ini bukanlah pengiktirafan muktamad, sebaliknya akan melalui proses penilaian terperinci oleh pihak World Crafts Council sebelum sebarang status rasmi diberikan.

Majlis tersebut turut menerima keberangkatan tiba DYMM Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, serta dihadiri oleh YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, dan Encik Sundeep Kumar, Naib Presiden World Crafts Council (Rantau Asia Pasifik) dari India.

Meraikan Keunikan Kraf Warisan Kelantan

Acara ini diraikan dengan menampilkan seni kraf tradisional Kelantan, khususnya hasil seni tekstil bernilai tinggi seperti Kelingkan dan Songket.

Dua tokoh Adiguru tersohor, Puan Nik Marhamah Nik Megat (Adiguru Sulaman Kelingkan) dan Puan Che Rohani Che Mood (Adiguru Tenunan Songket), mempersembahkan demonstrasi eksklusif kepada tetamu, memperlihatkan kehalusan proses penghasilan tekstil warisan tersebut.

Harapan & Langkah ke Hadapan

Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” dianggap sebagai pencapaian bersejarah yang berpotensi membuka peluang lebih luas untuk seni kraf tempatan diiktiraf di pentas dunia. Sekiranya berjaya, ia dijangka akan:

Mengangkat martabat penggiat seni kraf tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya wanita dan penggiat tekstil tradisional.

Memperkukuh usaha menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan beridentitikan warisan dan budaya.

Tentang Malaysian Craft Council (MCC)

Malaysian Craft Council (MCC) merupakan organisasi bukan kerajaan yang berperanan sebagai agen advokasi bagi memacu pertumbuhan industri kraf negara. MCC mewakili pelbagai kategori kraf termasuk batik, songket, tenun, perak, seramik, dan sulaman. Selain itu, MCC juga berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pemain industri seni dan budaya dengan jaringan antarabangsa melalui projek kolaborasi dan usaha strategik.

Majlis ini turut dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri kraf dan pembangunan komuniti, termasuk wakil sektor kerajaan dan swasta. Kerjasama ini diharap menjadi pemangkin kepada pemeliharaan serta pengembangan seni tekstil Malaysia ke tahap lebih tinggi di persada dunia. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *