KPF Laksana Pelan Rasionalisasi, Catat Prestasi Meningkat & Komited Tunaikan Permohonan Pengeluaran Syer

Kuala Lumpur, 16 Mei 2025 – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi koperasi yang berdaya tahan, berwibawa dan dipercayai apabila mencatatkan prestasi kewangan yang semakin memberangsangkan.
Pencapaian ini didorong oleh pelaksanaan pelan rasionalisasi yang berfokus serta komitmen tinggi terhadap tadbir urus korporat yang cekap.
Menurut Pengerusi KPF, YBhg. Dato’ Mohd Banuri Aris, usaha menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menunjukkan hasil positif, sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.
“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” ujar beliau dalam sidang media khas hari ini.
Rasionalisasi Aset dan Pemulihan Kewangan
KPF telah melaksanakan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan berteraskan tiga langkah utama:
Penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025;
Pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan;
Penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
Langkah ini bukan sahaja untuk menjana semula aliran tunai tetapi juga bertujuan membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari dan berdaya saing dalam jangka panjang.
“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” jelas Dato’ Mohd Banuri.
Komitmen Terhadap Kebajikan Anggota: Permohonan Pengeluaran Syer Diurus Secara Berfasa & Telus Bagi tempoh tahun 2022 hingga April 2025, KPF telah menerima 29,159 permohonan pengeluaran syer, melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM691.58 juta. Daripada jumlah ini:
Sebanyak 18,783 permohonan, bernilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar;
Baki 10,376 permohonan, bernilai RM372.13 juta, sedang dalam proses penyelesaian secara berfasa dan sistematik.
Bagi memastikan keadilan dan kecekapan, KPF mengamalkan sistem giliran yang telus dan teratur, dengan keutamaan diberikan kepada permohonan berstatus kritikal seperti:
Kos rawatan perubatan,
Urusan haji dan umrah,
Pembiayaan pendidikan anak-anak.
Selain itu, KPF turut memperkenalkan kategori “Green Lane”, iaitu laluan keutamaan khas untuk permohonan yang telah memenuhi syarat tertentu seperti dokumentasi lengkap, tempoh menunggu yang lama, atau keperluan mendesak yang disokong dengan bukti. Sistem ini diwujudkan bagi memastikan permohonan berkeperluan tinggi dapat diproses dengan lebih cepat tanpa menjejaskan giliran asal pemohon lain.
Dalam pada itu, pihak pengurusan KPF turut menjelaskan bahawa:
“Koperasi bukan seperti bank. Setiap pelaburan ada tempoh matang dan pengurusan dana dilakukan secara berhemah dan mengikut peraturan,” tegas mereka.
Ini bermaksud dana anggota diuruskan secara kolektif dan berlandaskan polisi pelaburan koperasi, dengan penekanan kepada kelestarian jangka panjang serta pematuhan peraturan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan, bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama,” tambah Dato’ Mohd Banuri.
Sokongan FELDA Jadi Pemangkin Kekuatan
KPF turut menzahirkan penghargaan kepada FELDA, khususnya kepada Pengerusinya YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek atas kepercayaan dan kerjasama strategik yang diberikan. Pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) membuktikan peranan penting KPF dalam ekosistem pembangunan komuniti peneroka.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1980, KPF kekal mencatatkan prestasi kewangan stabil tanpa pernah merekodkan kerugian, satu bukti kecekapan pengurusan serta asas ekonomi yang kukuh.
Seruan Bersama Menuju Kecemerlangan
Mengakhiri sidang media, Dato’ Mohd Banuri menyeru seluruh anggota agar terus memberikan sokongan padu terhadap agenda pemulihan koperasi:
“Sokongan tidak berbelah bahagi daripada para anggota, khususnya peneroka yang setia bersama KPF sejak awal, adalah nadi kekuatan kami. Kita akan bangkit bersama untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya penuh semangat.