KUSKOP BANTU USAHAWAN PMKS TERJEJAS BANJIR
Putrajaya – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
(KUSKOP) telah menangguhkan sejumlah RM128.6 juta pembayaran semula
pinjaman mikro kredit dan pinjaman keusahawanan kepada seramai 65,596 usahawan
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di beberapa negeri seluruh negara
yang terjejas banjir pada 9 hingga 31 Disember 2022.
Hampir kesemua usahawan atau peminjam yang terjejas ini dari Kelantan dan
Terengganu manakala selebihnya dari Pahang serta Sabah. Menterinya Datuk Ewon
Benedick berkata, peminjam atau usahawan berkenaan yang membuat pinjaman
melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP boleh memohon penangguhan sehingga
tempoh maksimum enam bulan.
Agensi yang terlibat ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia, TEKUN
Nasional, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Beliau berkata, penangguhan pembayaran semula pinjaman tersebut merupakan
inisiatif kementerian bagi membantu meringankan tekanan dan bebanan yang dihadapi
oleh koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana di kesemua negeri yang terlibat.
Sementara itu, kementerian juga melaksanakan program bantuan bakul makanan
pasca-banjir di Kelantan dan Terengganu kepada seramai 1100 keluarga isi rumah
terlibat banjir melibatkan peruntukan sebanyak RM110,000.
Penyerahan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir ini akan dilaksanakan oleh
Timbalan Menteri, Senator Saraswathy Kandasami bersama agensi-agensi
Kementerian pada 13 Januari ini di kedua-dua negeri tersebut.
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI