KUSKOP Perkenalkan Skim Pembiayaan Baharu, SPOT
SHAH ALAM, 20 Ogos 2022 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan satu skim baharu di bawah TEKUN Nasional iaitu Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT).
Inisiatif ini terbuka kepada usahawan informal dan mikro (Bumiputera dan India) berumur 18 hingga 65 tahun dengan nilai pembiayaan dari RM1,000 sehingga RM10,000.
Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tujuan pembiayaan SPOT adalah untuk membantu usahawan dalam talian untuk mengembangkan perniagaan.
“Sebanyak RM10 juta peruntukan dengan sasaran 1,000 usahawan, skim SPOT boleh dipohon mulai 20 Ogos 2022 melalui Pejabat Cawangan TEKUN (Over the Counter).
Satu lagi inisiatif dari KUSKOP bagi pemerkasaan keusahawanan adalah dalam penganjuran Sesi Dialog YB Menteri, KUSKOP bersama persatuan dan usahawan bumiputera yang bertempat di Pentas Utama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Stadium Shah Alam, pada hari ini.
Kunjungan seramai lebih 1,000 usahawan yang hadir meliputi persatuan, dewan koperasi dan usahawan bumiputera dalam mengutarakan pelbagai isu persoalan dalam kalangan usahawan.
Pelbagai isu, pandangan, cadangan dan soal jawab telah dibincangkan bertujuan untuk Pemerkasaan Keusahawanan inisiatif daripada pihak KUSKOP dalam siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor.
Sesi Dialog ini merangkumi pemerkasaan dalam aspek akses Pembiayaan, Program Latihan Keusahawanan, Lesen Perniagaan, Akses Pasaran, Rantaian Bekalan dan pelbagai lagi.
Termasuk dalam agenda KUSKOP dalam melahirkan Usahawan Baharu yang lebih perkasa dan berdaya saing. – UTVMediaMsia