KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Lima pendandan kucing Malaysia telah mencipta impak luar biasa di pentas grooming kucing antarabangsa pada 1 April 2026 di Chengdu, China. Farah Zahari, Ng Suk Hong, Kingsley, Zahriela, dan Suezy Natasya, yang dipilih daripada pemenang terbaik ISFC Malaysia 2024–2025, membuktikan bahawa semangat, kemahiran dan ketabahan tidak mengenal sempadan serta membuktikan bakat Malaysia mampu bersaing di pentas dunia.



Dalam pertandingan yang dianjurkan oleh International Society of Feline Cosmetologists, setiap negara iaitu China, Thailand, Singapura dan Malaysia menghantar lima wakil untuk bertanding dalam lima kategori utama termasuk clipping, scissoring serta show grooming bagi pelbagai baka seperti Persian, Forest Cats dan kucing baka tulen lain.



Cabaran yang dihadapi jauh melangkaui pertandingan itu sendiri. Pemilihan kucing pada saat akhir, suhu sejuk sekitar 12–13°C, kekangan komunikasi dengan penganjur dan penduduk tempatan, serta sesi grooming lewat malam di salun DIY dalam pusat membeli-belah sehingga jam 1 pagi, semua ini tidak mematahkan semangat mereka.
Dan tibalah saat penentuan.
Diadili oleh Pamela, pengasas ISFC dari Amerika Syarikat, Malaysia telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan, menewaskan China (tempat ke-2), Singapura (tempat ke-3) dan Thailand (tempat ke-4).
Kejayaan tidak terhenti di situ.
Pada malam Gala Finale yang penuh gemilang, Malaysia terus mendominasi. Anugerah berprestij ‘Best Groomer of the Year (Asia), telah dimenangi oleh Ng Suk Hong sebagai juara, manakala Farah Zahari meraih tempat kedua. Selain itu, kedua-dua mereka turut membawa pulang pelbagai anugerah di peringkat Asia dan Malaysia. Kingsley Lee, Zahriela dan Suezy Natasya masing-masing turut merangkul anugerah di peringkat Asia, menjadikan ia detik penuh kebanggaan buat kelima-lima wira Malaysia ini.



Ini adalah satu pernyataan jelas bahawa Pendandan kucing Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah berada pada tahap luar biasa. Dedikasi, pengorbanan dan kepercayaan mampu mengangkat sebuah pasukan kecil ke pentas dunia. Ia juga membuktikan bahawa pendandan kucing Malaysia adalah antara yang terbaik di Asia dan semakin mendapat pengiktirafan di peringkat global.



Perjalanan mewakili Malaysia ke Chengdu, China ini direalisasikan melalui tajaan bersama daripada Fabulous Care Malaysia, Purrfection Catz Grooming Academy dan Malaysia Cat Grooming Association.
Tahniah, Team Malaysia! Malaysia Boleh!



