MAGLIFESTYLE Ketengahkan Romansa Rona Pastel dalam Koleksi ‘Dreamy Biomimicry’ untuk Musim Bunga/ Panas 2026

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2025 – MagLifestyle mempersembahkan koleksi terbaharu Musim Bunga/ Panas 2026 di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 disaksikan oleh para jemputan dan peminat fesyen tempatan. Pertunjukan fesyen kali ini mempamerkan gaya dan glamor dalam penuh kepelbagaian dan kegemilangan.


Mengambil inspirasi daripada keanggunan Paris, ragam impresionis dan daya tarikan renda-renda vintaj, koleksi SS26 MAGLIFESTYLE terhasil daripada kehalusan cinta dari jiwa yang romantis. Fesyen pastel Perancis menjadi tumpuan utama musim ini, menggabungkan fantasi nostalgia dengan gaya moden penuh kelembutan.


Koleksi ini memfokuskan kepada palet warna pastel dengan penggunaan rona merah jambu, biru muda, hijau pudina, kuning mentega dan krim vanila. Rona-rona ini terinspirasi daripada mawar yang kian pudar, warna-warni manisan macaron dan cahaya suria yang terbit di kota Paris, kesemuanya membangkitkan mimpi indah dan romantis. Warna-warna pastel menenangkan ini adalah kanvas terbaik untuk menciptakan siluet penuh feminin yang sempurna.
Potongan signatur beralun MAGLIFESTYLE kembali dalam sifon lembut dan tulle bersulam. Antara rekaan yang menjadi tumpuan termasuk gaun midi berlisu, gaun manik dwi-warna dan perincian bunga. Blaus lengan besar, kamisol berenda dan blaus gaya korset dipadankan dengan skirt berlisu pinggang tinggi, sifon berlisu dan ‘bubble skirt’. Setiap helaian direka dengan struktur lembut dan alunan romantis.
Elemen nostalgia koleksi ini diperkukuhkan lagi melalui penggunaan renda yang halus dan perincian yang rapi. Lapisan renda Chantilly dan tulle bersulam memberikan kesan tekstur berlapis yang terinspirasi daripada pakaian dalam vintaj dan kisah cinta abad ke-18. Panel dan trim halus menyuntik sedikit elemen seksi.
Aksesori kekal sebagai elemen penting dalam gaya rekaan MAGLIFESTYLE. Perhiasan kepala renda berhias mutiara dan reben melengkapkan gaya. Kasut yang terhasil dengan kerjasama bersama pereka Tricia Lew, termasuk Mary Janes dalam rona pastel, kasut tumit runcing dan kasut sarung dengan reben. Koleksi kapsul istimewa MAGLIFESTYLE x Tricia Lew akan dilancarkan pada September 2025, menampilkan rekaan kasut yang unik lagi praktikal.
Keindahan mimpi dalam koleksi ini berterusan dengan motif rococo dan flora. Bunga-bunga kecil bersulam, corak toile de Jouy dan bunga lukisan cat air memberi efek sentuhan perincian penuh kelembutan. Ikatan reben sutera, korsaj dan leher tinggi beropol memberikan sentuhan kemewahan romantis ala Marie Antoinette.
Koleksi Dreamy Biomimicry ini meminjam intipati je ne sais quoi Perancis. Romantik namun senang digayakan, halus namun tetap sederhana, ia bakal menjadi pilihan wanita yang mencintai keindahan vintaj dengan unsur moden yang praktikal.