Pelancongan Mesra Muslim: MATA Perhebat Promosi Melalui Fam Trip Antarabangsa

  • September 28, 2025
  • 3 min read
Pelancongan Mesra Muslim: MATA Perhebat Promosi Melalui Fam Trip Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) terus memperkukuh usaha mempromosikan pelancongan mesra Muslim melalui penganjuran program familiarisation trip (fam trip) ke beberapa destinasi antarabangsa.

Presidennya, Dato’ Sri Dr. Mohd Khalid Harun, berkata program ini memberi pendedahan langsung kepada ahli persatuan, termasuk agensi pelancongan dan wakil media, mengenai produk serta destinasi yang berpotensi menarik pelancong Muslim.

Dato’ Sri Dr. Mohd Khalid Harun

“Setiap kali kita menjalankan fam trip, kita menjemput sebanyak mungkin ahli MATA untuk menyertai. Melalui lawatan ini, mereka dapat menilai sendiri kemudahan dan tarikan yang ditawarkan negara-negara tersebut untuk pasaran Muslim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada ahli MATA membangunkan pakej baharu, malah membantu negara luar memahami keperluan pelancong Muslim.

China antara tumpuan utama kerana memiliki lebih satu bilion penduduk dengan lebih 300 juta daripadanya beragama Islam, selain wilayah-wilayah yang aktif menarik pelancong antarabangsa.

Teruja pengalaman menaiki helikopter

“Hubungan baik antara Malaysia dan China memberi banyak kelebihan, termasuk kemudahan kemasukan tanpa visa yang memudahkan pergerakan pelancong kedua-dua negara. Kemudahan ini sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung dan menyokong pertumbuhan industri pelancongan dua hala,” ujarnya.

Dalam masa sama, MATA turut menyelaraskan usaha ini dengan penganjuran World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) – sebuah platform global untuk menampilkan Malaysia sebagai hab utama pelancongan dan perdagangan Islam.

“WITEX menjadi platform untuk menampilkan Malaysia sebagai hab utama pelancongan dan perdagangan Islam antarabangsa. Usaha ini merupakan langkah proaktif MATA menyahut cabaran kerajaan dalam memperkasakan sektor Islamic MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions),” katanya.

Dato’ Sri Dr. Mohd Khalid Harun turut menegaskan kepentingan memperkasakan ekonomi berteraskan Islam.
“Kita ada bank, insurans dan pelbagai produk lain. Begitu juga dengan produk halal serta perkhidmatan berteraskan nilai Islam yang perlu kita promosikan secara lebih meluas lagi,” jelasnya.

Beliau menyeru ahli MATA serta penggiat industri halal untuk berganding bahu memperkukuh produk berasaskan Islam.
“Kami sentiasa mengalu-alukan penggiat industri, khususnya yang terlibat dalam produk halal dan perkhidmatan unik berteraskan Islam, untuk bersama-sama berganding tenaga,” katanya.

Dalam aspek kebudayaan, fam trip ke Hainan, China baru-baru ini memberi pengalaman luar biasa kepada ahli MATA dan media apabila mereka dibawa melawat Kampung Lee – sebuah penempatan unik yang mempunyai banyak persamaan dengan kaum Iban di Sarawak, dari segi rupa, pemakaian dan cara hidup, kecuali bahasa.

Selain itu, peserta turut berpeluang menyaksikan persembahan pentas bertaraf Istana Budaya yang menampilkan identiti pelbagai provinsi China dengan sentuhan teknikal dan reka bentuk pentas moden yang memukau.

“Pengalaman ini bukan sahaja memperlihatkan keunikan budaya, malah membuktikan betapa pentingnya kita membuka minda terhadap kepelbagaian tradisi dunia, sambil terus memperkukuh identiti Islam dalam produk dan perkhidmatan yang kita bangunkan,” katanya.

Beliau menegaskan, MATA akan terus konsisten mempromosikan produk pelancongan ahli, bukan sahaja di dalam negara malah ke peringkat antarabangsa, bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim. -UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *