MBPJ RAI ULANG TAHUN BANDAR RAYA PETALING JAYA KE-19, MENYATU KOMUNITI MEMBANGUN BANDAR

  • June 29, 2025
  • 2 min read
MBPJ RAI ULANG TAHUN BANDAR RAYA PETALING JAYA KE-19, MENYATU KOMUNITI MEMBANGUN BANDAR

Tanggal 20 Jun sentiasa diingati oleh seluruh warga Petaling Jaya dan warga kerja Majlis
Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana ia merupakan tarikh keramat Petaling Jaya dinaik taraf sebagai bandar raya pada 19 tahun lalu sekali gus mengangkat Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya kedua di Selangor.

Melewati hampir dua dekad sejak pengisytiharan tersebut, Petaling Jaya telah mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan. Pengiktirafan ini bukan sahaja menzahirkan kejayaan pentadbiran
tempatan, malah menjadi mercu tanda kemajuan fizikal, sosial dan ekonomi yang berpaksikan kepada kesejahteraan komuniti.
Berikut merupakan pengiktirafan yang diterima oleh MBPJ antaranya:

i. Tahun 2019 – Dinobatkan sebagai antara 10 bandar raya di dunia untuk Anugerah
Bandaraya Pembelajaran 2019 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains Dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

ii. Tahun 2023 – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menerima pengiktirafan sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF kerana melaksanakan inisiatif mesra kanak- kanak dan menyediakan kemudahan serta perkhidmatan yang sesuai untuk kanak-kanak.

iii. Tahun 2025 – Pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) kepada PJ Eco
Recycling Plaza sebagai pusat kelestarian alam sekitar pertama oleh Pihak Berkuasa
Tempatan.

Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya telah diadakan hari ini bertempat di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya dan disempurnakan oleh Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar.
Mengekalkan tema “PJ Bandar Paling Bahagia”, MBPJ komited untuk menterjemahkan aspirasi ini melalui penganjuran 31 program dan aktiviti sepanjang bulan Jun yang dirangka khusus bagi merapatkan hubungan antara Majlis dan masyarakat, menyemarakkan semangat komuniti dan memperkukuh rasa bangga terhadap bandar raya tercinta ini.
Pertandingan perarakan merupakan salah satu pengisian acara kemuncak sambutan kali ini.

Hampir 400 orang peserta menyertai perarakan dengan jumlah keseluruhan 13 kumpulan daripada agensi kerajaan dan swasta untuk merebut tempat pertama yang menawarkan hadiah wang tunai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *