KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) komited untuk meneruskan langkah transformasi berimpak tinggi ke arah tahun 2026, didorong oleh pelbagai pencapaian cemerlang yang direkodkan sepanjang 2025 dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.

Menurut PERKESO, sepanjang tahun lalu, seramai 150,599 daripada 208,599 rakyat Malaysia berjaya memperoleh pekerjaan hasil inisiatif penggajian yang dilaksanakan menerusi 3,715 Karnival Kerjaya dan sesi temu duga, melibatkan penyertaan hampir 24,000 majikan di seluruh negara.
Selain itu, pendekatan rehabilitasi yang dilaksanakan turut menunjukkan impak positif apabila 4,817 daripada 5,887 pesakit, atau lebih 80 peratus, berjaya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dan kembali bekerja.
Sehubungan itu, pembukaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Ipoh yang dijangka dilancarkan tahun ini dilihat bakal melengkapkan ekosistem perlindungan agensi berkenaan, sekali gus memperluaskan peranannya daripada sekadar agensi perlindungan keselamatan sosial kepada sebuah institusi pemulihan maruah dan produktiviti pekerja.
Dalam masa sama, pembinaan hospital dan pusat rehabilitasi di Terengganu dan Pulau Pinang turut menjadi keutamaan, memandangkan kapasiti pusat sedia ada di Melaka dan Ipoh kini telah mencapai tahap 90 hingga 95 peratus.
Seiring pelaksanaan inisiatif LINDUNG 24 Jam, PERKESO turut komited memastikan setiap Orang Berinsurans menerima rawatan tanpa penangguhan melalui akses rehabilitasi yang pantas dan efisien, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Di samping itu, PERKESO akan memberi tumpuan kepada pindaan Akta 800 bagi memperkukuh perlindungan kepada pekerja, selain pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja dalam sektor berkenaan.
Bagi memperluas jaringan perlindungan sosial, PERKESO turut meneroka kebolehlaksanaan Skim Pengembara menerusi kajian mendalam bagi membantu hampir 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik mencari rezeki ke Singapura.
Komitmen tersebut ditegaskan semasa majlis “LINDUNGu Sahabat! PERKESO Media Luncheon 2026” yang berlangsung pada Selasa, dan turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, serta barisan pengurusan kanan KESUMA dan PERKESO.
Dalam majlis berkenaan, penghargaan turut dizahirkan kepada pengamal media atas peranan penting mereka sebagai jambatan penghubung antara agenda perlindungan sosial negara dengan realiti kehidupan masyarakat.



