Motosikal Elektrik Buatan Malaysia Buka Pasaran EV Bernilai Berbilion, Harga Pelancaran RM1,599

  • September 12, 2025
  • 2 min read
Motosikal Elektrik Buatan Malaysia Buka Pasaran EV Bernilai Berbilion, Harga Pelancaran RM1,599

Shah Alam, 12 September 2025 – Pelancaran motosikal elektrik buatan tempatan dengan harga promosi RM1,599 untuk setiap pemegang MyKad sehingga Disember 2025 bukan sekadar pengumuman produk, tetapi isyarat jelas bahawa Malaysia mula menapak kukuh dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) serantau yang bernilai berbilion ringgit.

Majlis yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shari itu turut memberi gambaran tentang peluang ekonomi baharu hasil penghasilan EV buatan Malaysia.

Menurut laporan pasaran, segmen motosikal elektrik Asia Tenggara dijangka mencecah nilai lebih USD 3 bilion (RM14 bilion) menjelang 2030, dipacu oleh peningkatan kos bahan api dan dasar karbon rendah yang lebih ketat. Pelancaran model mampu milik oleh usahawan tempatan ini dilihat mampu menjadi pencetus kepada limpahan pelaburan serta peluang pekerjaan baharu dalam sektor automotif hijau negara.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis pelancaran CEO NEO FK Farid Kamil “Keistimewaan projek ini adalah kerana ia merupakan hasil ciptaan anak Malaysia sendiri. Selepas hampir enam tahun pembangunan, teknologi dan spesifikasinya kini lebih matang dan meyakinkan,” kata pengasas projek itu.

Menteri Besar Selangor dalam ucapannya, Dato’ Seri Amiruddin menegaskan bahawa transformasi karbon rendah hanya dapat dicapai dengan kerjasama menyeluruh.

“Masih ramai yang lebih selesa menggunakan kenderaan berasaskan bahan api fosil walaupun sedar akan kesannya. Oleh itu, untuk menjayakan perubahan ini, kita perlu memperkasakan semua pihak,” ujarnya.

Kerajaan Negeri Selangor juga melihat inisiatif ini sebagai peluang menjadikan negeri itu hab utama pembangunan EV. Dengan penglibatan pengeluar, pemaju, pengilang dan bakat tempatan, ia berpotensi mewujudkan rantaian bekalan baharu – daripada pembuatan bateri sehingga ke penyelidikan teknologi hijau.

Penganalisis industri menjangkakan, jika model ini mendapat sambutan, ia bukan sahaja mempercepatkan adaptasi EV di Malaysia tetapi juga menarik pelaburan asing ke dalam ekosistem automotif hijau negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *