Pertandingan Kecoh Kecah Dapur Warisan Angkat Tema Kulinari Negeri di Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur

  • September 15, 2025
  • 2 min read
Pertandingan Kecoh Kecah Dapur Warisan Angkat Tema Kulinari Negeri di Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Suasana pentas utama menjadi riuh dan meriah apabila Pertandingan Kecoh Kecah Dapur Warisan berlangsung sempena Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur 2025 dari 12 hingga 16 September.

Pertandingan yang mengetengahkan tema Kulinari Negeri ini berjaya mencuri perhatian juri dan penonton dengan kepelbagaian idea serta semangat peserta dalam mengangkat martabat masakan tradisi.

Empat pasukan bertanding dalam tempoh 1 jam 35 minit, menggunakan bahan yang disediakan dalam bentuk “mystery box” tanpa mengetahui terlebih dahulu menu yang perlu dihasilkan. Kreativiti peserta diuji sepenuhnya apabila mereka perlu mengolah bahan tersebut menjadi hidangan lengkap.

Dua juri profesional yang dijemput, Chef Razman Hazizi dari Persatuan Gastronomi Malaysia dan Chef Jamil Khir bin Yang Ghazali @ Chef Yang Jamil, Presiden Persatuan Warisan Makanan Malaysia, sepakat bahawa para peserta bukan sahaja berjaya menampilkan kreativiti, malah menepati semangat pertandingan iaitu mengangkat identiti masakan warisan.

Menurut Chef Razman, walaupun peserta bukan daripada kalangan profesional, mereka tetap menunjukkan usaha yang membanggakan.

“Peserta hari ini ideanya menarik, majoriti mereka hit the brief. Improvisasi boleh, tetapi jangan terlalu ‘over’. Identiti jangan lupa, sebab itu asas. Kalau hilang identiti, hilanglah jiwa makanan itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa memasak bukan sekadar teknik, tetapi perlu dilakukan dengan minat dan kasih sayang.

“Kalau masak dengan marah, walaupun resipi sama, hasilnya tidak jadi. Masak dengan ikhlas, penuh kasih sayang, insya-Allah makanan itu akan sampai kepada orang yang menikmatinya,” tambahnya.

Sementara itu, Chef Yang Jamil kagum dengan kebolehan peserta memanfaatkan bahan misteri untuk menghasilkan hidangan yang lengkap seperti nasi ambang dan nasi kerabu.

“Rasa dan persembahannya memang seperti dihidang di restoran. Saya salutlah dengan mereka kerana dalam masa singkat, mereka berjaya hasilkan hidangan berkualiti,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pertandingan diperbesar pada masa hadapan.

“Kalau ada 20 hingga 30 kumpulan, lagi meriah. Persaingan pun lebih sengit dan penonton dapat lihat pelbagai resipi secara langsung. Program sebegini sangat baik dan perlu diperluaskan dengan promosi lebih kuat supaya impaknya lebih luas,” ujarnya.

Pertandingan dinilai berdasarkan empat kriteria utama iaitu rasa & keseimbangan bahan (40%), keaslian & identiti menu (20%), kreativiti & persembahan (20%), serta kebersihan & teknik memasak (20%).

Kedua-dua chef berpendapat, walaupun skala pertandingan ini sederhana, usaha yang ditampilkan berjaya mengangkat kembali warisan kulinari negeri serta memberi inspirasi kepada generasi baharu.

Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur 2025 turut menampilkan pelbagai program menarik lain termasuk jualan kulinari warisan, pameran seni budaya dan persembahan tradisional sepanjang 12 hingga 16 September di ibu negara. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *