Pertubuhan India di Melaka Desak Tapak Khas Upacara Kematian Disediakan Segera

MELAKA, 17 Sept – Beberapa pertubuhan masyarakat India di Melaka hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri bagi mendesak penyediaan tapak khas untuk pelaksanaan upacara sembahyang kematian.

Penyerahan ini akan diketuai oleh Encik Ulagananthan dari Pertubuhan Kebajikan Suara Keadilan Masyarakat Malaysia bersama Encik Joseph dari Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional, Encik Yathipan dari Pertubuhan Kebajikan Bestari Tampin serta Encik Yoheswaran dari Kelab Peminat AK Malaysia.
Menurut Pengurusi Pertubuhan Kebajikan Suara Keadilan Masyarakat Malaysia, masalah ketiadaan lokasi khas ini telah berlarutan lebih 10 tahun meskipun permohonan dibuat berulang kali.


“Masyarakat India, bila ada kematian, biasanya keesokan hari mayat akan dibakar. Pada hari ketiga, abu akan dibawa ke laut untuk dibuang melalui upacara kecil. Paling mencabar ialah upacara hari ke-16, yang memerlukan sembahyang sepanjang malam sebelum upacara di laut pada pagi keesokan harinya.
Tanpa tapak khas, kami sering berdepan gangguan – ada ketika dihalau oleh pihak JKKK kampung, ada masa polis datang menghalang. Ini menyukarkan pelaksanaan upacara keagamaan kami,” katanya ketika ditemui media.


Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri pernah meluluskan satu kawasan di Teluk Gong untuk tujuan tersebut, namun kelulusan itu terbatal apabila berlaku pertukaran pentadbiran kerajaan. Malah, kes berkenaan turut dibawa ke mahkamah oleh sebuah persatuan, namun akhirnya gagal.
Tambah beliau, walaupun pelbagai janji telah diberikan sejak beberapa tahun lalu, sehingga kini tiada sebarang keputusan muktamad dicapai.
“Kami sudah bosan dengan janji yang berulang-ulang. Sudah lebih 10 tahun, masih tidak ada penyelesaian. Tahun depan pula pilihan raya sudah dekat, kami harap kerajaan negeri dapat memberi keputusan segera,” tegasnya.


Hari ini, memorandum tersebut turut disokong oleh gabungan beberapa NGO lain termasuk Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional, Persatuan Kebajikan Bestari Tampin dan Kelab Peminat AK.
Mereka menyerahkan memorandum berkenaan di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Ayer Keroh.
Bagaimanapun, mereka melahirkan rasa kesal kerana masih gagal mendapatkan pertemuan rasmi dengan Ketua Menteri untuk membincangkan isu tersebut.

“Kami sudah banyak kali memohon untuk bertemu Ketua Menteri, tetapi sehingga hari ini tidak pernah diberi peluang. Sebelum pilihan raya, pemimpin boleh bertemu kami di kedai kopi. Tapi sekarang, nak jumpa pun susah. Kami hanya mahu satu tapak khas, tak kira di mana sahaja dalam kawasan Melaka asalkan sesuai untuk upacara kaum India,” ujarnya.
Mereka berharap kerajaan negeri dapat memberi kata putus segera demi menghormati tuntutan agama dan memudahkan urusan masyarakat India di negeri ini.





