Sembang Santai “Aroma Nostalgia”: Chef Zam & Chef Arthur Kongsi Cita Rasa Warisan Malaysia

Kuala Lumpur, 12 September 2025 – Salah satu program menarik dalam Festival Citarasa Warisan@Kuala Lumpur, sesi sembang santai “Aroma Nostalgia” membawa penonton menyusuri memori kuliner Prof. Dato’ Zamzani Abdul Wahab (Chef Zam) dan Chef Arthur Lim, berkongsi pengalaman membesar dengan makanan warisan Malaysia serta bagaimana selera berubah seiring usia.
Perbincangan dimulakan dengan Chef Zam yang menceritakan pengalaman kanak-kanaknya bersama arwah ibunya. Ketika kecil, makanan tradisional seperti nasi dagang, pulut kuning, dan rendang tok kurang menarik berbanding masakan Barat.

“Dulu kita lebih minat spagetti dan pizza sebab nampak moden. Tapi bila dewasa, makanan yang dulu kita ambil mudah kini terasa begitu berharga dan istimewa,” kata Chef Zam dengan senyuman nostalgia.
Chef Zam menambah, walaupun mudah menikmati hidangan Barat seperti steak dan tiramisu ketika melancong, makanan tempatan tetap memberikan kepuasan tersendiri.
“Makanan Malaysia mempunyai rasa yang kompleks, berlapis-lapis, berbeza dengan masakan Barat yang kadangkala flat. Setiap suapan membawa memori dan nostalgia tersendiri,” tambah beliau.
Chef Arthur Lim pula berkongsi pengalaman keluarganya yang turut mempengaruhi selera. Hidangan seperti Hokkien mee dan masakan tradisional lain menjadi sebahagian daripada rutin keluarga, yang kini diteruskan generasi berikutnya.

“Balik Malaysia selepas beberapa hari di luar negara, mesti cari nasi lemak dulu. Itu sudah menjadi naluri, sebab makanan itu membentuk identiti kita sejak kecil,” kata Chef Arthur Lim.
Sesi sembang turut menyorot pengalaman kedua-dua chef mencari lokasi makanan asli dan sedap. Mereka bersetuju bahawa populariti bukan ukuran utama, tetapi keaslian rasa dan kenangan di sebalik hidangan membuatkan seseorang terus kembali kepada makanan warisan.
Forum santai ini menekankan bahawa makanan bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi membawa cerita, emosi, dan sejarah keluarga.

Chef Zam dan Chef Arthur Lim berkongsi bahawa makanan warisan Malaysia tetap relevan walaupun dunia kuliner kini dipenuhi hidangan antarabangsa.
“Makanan yang kita biasa makan masa kecil memberi kekuasaan tersendiri. Ia bukan sekadar rasa, tetapi memori dan budaya yang hidup dalam diri kita,” kata Chef Zam mengakhiri sesi sesi sidang media.
Sembang santai “Aroma Nostalgia” berjaya membuka mata generasi muda untuk kembali menghargai makanan tradisional, sambil mengiktiraf nilai nostalgia dan warisan dalam setiap hidangan Malaysia – salah satu tarikan utama Festival Citarasa Warisan@Kuala Lumpur.


Jangan lepaskan peluang! Festival ini akan berlangsung pada 12–16 September 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Pengunjung Festival Citarasa Warisan@Kuala Lumpur bakal disajikan dengan pelbagai makanan warisan negeri dan kaum yang menarik dan autentik, termasuk lontong darat, lemang, rendang tok, daging salai, masak lemak itik, beko, serabai, laksam, asam pedas Melaka, muruku, kuih bulan, punten, Penang char kway teow, Penang asam laksa, ambuyat set, linopot set, latok, amplang, kuih cincin, rempenyek, laksa Sarawak, kolok mee, celorot, ABC, cendol, ubi kayu rebus dengan kelapa, sate, keropok lekor, cekodok pisang, labu, ubi, dan banyak lagi, memastikan setiap pengunjung merasai keunikan cita rasa tradisi Malaysia dalam satu festival yang meriah bertempat di Laman Cita Rasa Warisan (Laman 6), Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Sertai untuk pengalaman kuliner yang kaya dengan warisan, demonstrasi masakan, dan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.— UTV