HAWANA 2025 hargai dedikasi dan pengorbanan wartawan

  • June 14, 2025
  • 2 min read
HAWANA 2025 hargai dedikasi dan pengorbanan wartawan

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2025 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
hari ini merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang
berlangsung pada 13 hingga 15 Jun 2025 di World Trade Centre Kuala Lumpur
(WTCKL).

Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, perhimpunan
terbesar pengamal media Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi menerusi
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ini menghimpunkan seramai lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan dan kelab wartawan tempatan serta delegasi
media dari negara SEAN.

Antara pengisian menarik ialah Pesta Pantun HAWANA-DBP, Karnival HAWANA
yang membawakan konti mini BERNAMA, pocket talk, pemberian akhbar digital New
Straits Times Press Berhad, kuiz dan cabaran baca berita anjuran Media Prima
Berhad. Karnival ini melibatkan 20 reruai pameran antaranya BERNAMA, Jabatan
Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Astro serta Media Prima Berhad.

Turut diadakan, Forum HAWANA 2025 pada 14 Jun 2025 bertajuk “Malaysian Media
Council: Regulator or Media Protector?” diikuti sesi perkongsian teknologi “AI & Media:
Tool, Threat or Opportunity?”. Forum anjuran BERNAMA dan Malaysian Press
Institute (MPI) ini menjadi platform kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media
Malaysia (MMM) untuk mengutarakan pandangan berhubung masa depan
media selepas Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024
diluluskan di Parlimen Februari 2025.

Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah
HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan sebagai penghargaan atas sumbangan serta
dedikasi dalam bidang kewartawanan. Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA juga
disampaikan kepada tiga wartawan veteran yang diuji masalah kesihatan dan hadiah
kepada pemenang Pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *