Peluncuran Prime: Inisiatif strategik tingkatkan tahap kesiapsiagaan MCMC hadapi situasi bencana di tempat awam.

CYBERJAYA, 16 Jun 2025 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini
meluncurkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME)
sebagai satu inisiatif strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan tahap
kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat
awam.
PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan
yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron. Sistem
PRIME ini berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi
menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara
berkesan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk di kawasan terpencil atau
terjejas liputan bersesuaian dengan slogan PRIME iaitu “Ketersambungan Tanpa
Batasan”.
PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad.
Pelaksanaan PRIME juga akan memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan
pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus
meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.
Selain itu, PRIME juga turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat
Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan
perkhidmatan Internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi
sasaran.
Inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang
lebih inklusif dan responsif, serta menjadi pemangkin kepada transformasi digital
masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.





