JPJ Lawat Kilang GGR Motor, Sokong Usaha Hasilkan Motosikal EV Pertama Buatan Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Hasrat GGR Motor untuk muncul sebagai pengeluar motosikal elektrik (EV) pertama buatan Malaysia menerima sokongan penuh apabila kilangnya di Kampung Sungai Penchala dikunjungi rombongan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Khamis lalu.


Seramai 25 anggota JPJ diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang hadir bagi meninjau operasi pemasangan model sulung GGR Motor, Lion G1, selain diberi taklimat tentang keseluruhan proses pengeluaran.
Kedatangan rombongan itu disambut Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, serta Pengarah Urusan, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi.

“Ini lawatan pertama pihak berkuasa ke kilang kami. Ia langkah penting bagi memastikan proses pengeluaran motosikal EV tempatan berjalan mengikut piawaian dan SOP ditetapkan undang-undang. Kami amat berbesar hati atas kesudian pihak JPJ meluangkan masa untuk melihat sendiri usaha kami,” kata Mussaddiq.
6,000 Unit Sedia Didaftrar, Sambutan Luar Biasa


Mussaddiq mendedahkan, mulai 1 September lalu motosikal EV Lion G1 sudah boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ.
“Lebih 6,000 tempahan sedia untuk dihantar kepada pembeli dalam masa terdekat. Permintaan ini membuktikan rakyat Malaysia bersedia menerima motosikal elektrik buatan tempatan,” jelasnya.
Lion G1 yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan direka khusus untuk pasaran Malaysia dengan ciri mesra alam, kos mampu milik dan penyelenggaraan lebih mudah.
Menariknya, selepas dilancarkan pada Julai lalu, model tersebut menerima lebih 2,500 tempahan hanya dalam tempoh seminggu, menandakan sambutan luar biasa pengguna terhadap alternatif mobiliti elektrik.


Kilang Baru, 50 Peluang Kerja Hijau
Bagi memenuhi permintaan, GGR Motor bakal membina sebuah kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung, di atas tapak seluas lebih satu ekar. Kilang itu dijangka mencipta 50 peluang pekerjaan baharu, khusus dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik.
Selain itu, usaha ini turut diperkuatkan melalui kerjasama strategik dengan PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM), meliputi latihan teknikal, penyelenggaraan serta rantaian bekalan.
Sokongan Kerajaan, Harapan Industri EV Tempatan
Lawatan rasmi JPJ ini dilihat sebagai pengiktirafan kepada usaha GGR Motor yang bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai hab motosikal elektrik ASEAN menjelang 2025, dengan sasaran pengeluaran 30,000 unit motosikal EV pada penghujung tahun depan.
Dengan momentum permintaan yang semakin tinggi, pengukuhan sokongan kerajaan serta minat masyarakat terhadap kenderaan hijau, GGR Motor yakin Lion G1 hanyalah permulaan kepada transformasi besar industri motosikal negara.