KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyambut baik cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meneliti pindaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap kes kecurian kabel dan pencerobohan fasiliti rel yang semakin membimbangkan.
Menurut KTMB, isu kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur kritikal rel negara, malah memberi kesan langsung kepada keselamatan operasi tren, keselesaan penumpang, serta mencetuskan gangguan perkhidmatan dan kelewatan tren.
Sepanjang tahun 2025, kes kecurian kabel dilaporkan telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM4.4 juta, termasuk kos penggantian dan pemulihan sistem.
Insiden berkaitan turut menyebabkan gangguan operasi tren dengan jumlah kelewatan terkumpul mencecah 24,891 minit. KTMB berkata, cadangan untuk meningkatkan jumlah kompaun dan hukuman ini bukan sekadar bertujuan menghukum, sebaliknya menghantar mesej jelas bahawa kerajaan memandang serius isu keselamatan rel negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa perbuatan mencuri kabel dan merosakkan infrastruktur rel merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.
Dalam usaha membendung jenayah ini, KTMB juga giat melaksanakan pelbagai penambahbaikan terhadap sistem persinyalan di sepanjang landasan kereta api bagi mengurangkan risiko kecurian.
Antara langkah yang diambil termasuk pemasangan penutup kabel (manholes) lebih berat, perlindungan sekunder (secondary protection) serta tambahan kunci keselamatan.
Seiring perkembangan teknologi, KTMB turut mengaplikasikan teknologi berasaskan Internet of Things (IoT) seperti penggunaan sensor, kamera litar tertutup (CCTV), sistem penggera, dron berteknologi AI, serta pengesanan akustik melalui kabel fiber bagi meningkatkan pemantauan dan keselamatan infrastruktur.
Selain aspek penguatkuasaan, KTMB juga mempergiat inisiatif pendidikan dan kesedaran awam. Antara langkah terbaharu ialah pelancaran Video Pesanan Khidmat Awam (PSA) berkaitan keselamatan di kawasan landasan, bahaya pencerobohan serta implikasi undang-undang terhadap kesalahan tersebut.
KTMB menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, pemantauan serta penguatkuasaan di sepanjang laluan rel, demi memastikan perkhidmatan kereta api kekal selamat, stabil dan boleh dipercayai.



