PUTRAJAYA, 9 Mac 2026 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggempur satu kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam satu operasi khas Ops Gasak di sebuah rumah kediaman di Putrajaya.
Operasi tersebut dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penyimpanan barang kawalan secara tidak sah di sebuah rumah dua tingkat.

Semasa serbuan, pasukan penguat kuasa mendapati premis berkenaan tidak berpenghuni. Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan premis dan sebuah kenderaan di laman rumah menemui 78 kotak minyak masak paket, dengan setiap kotak mengandungi 17 paket bersaiz satu kilogram.
Jumlah keseluruhan minyak masak yang ditemui dianggarkan 1,326 kilogram dan dipercayai disimpan untuk tujuan urus niaga tanpa lesen yang sah.
Kesemua minyak masak tersebut telah disita oleh KPDN dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM5,569.20.
Seorang lelaki tempatan yang mengaku anak kepada pemilik premis hadir ke lokasi dan telah diberikan notis pemeriksaan serta akuan sitaan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu kesalahan memiliki barang kawalan dengan niat menjalankan urus niaga tanpa lesen sah.
KPDN menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna serta bekalan subsidi kerajaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN atau Call Centre 1-800-886-800.



