SEMENYIH, 29 Mac 2026 – Pendekatan inklusif dan semangat perpaduan terus diperkukuh di PAS Dun Semenyih, Selangor apabila Pusat Khidmatnya mengambil inisiatif menganjurkan tayangan filem khas Tamil buat komuniti India, sebagai usaha menyemai nilai spiritual dan motivasi dalam kalangan masyarakat setempat.



Program yang digerakkan oleh pegawai khas kaum India N24 Dun Semenyih En.Poobalan Pannirselvam T itu berjaya menghimpunkan masyarakat India sekitar Semenyih untuk bersama-sama menonton filem berunsur motivasi dan kerohanian, sekali gus memperkukuh pegangan terhadap agama masing-masing.
Kehadiran YB Ustaz Nushi Mahfodz ADN N24 SEMENYIH menambah suasana menjadi semakin ceria serta ucapan beliau penuh penuh semangat dan harmoni, menurut beliau inisiatif ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi bertujuan menyampaikan mesej nilai kehidupan, kepercayaan kepada Tuhan serta kepentingan kesejahteraan rohani dalam kehidupan seharian.



Menurutnya lagi Islam sebagai agama Persekutuan turut meraikan kepelbagaian agama yang diamalkan di Malaysia. Katanya, prinsip kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan perlu terus dihormati demi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.
“Sebagai umat Islam, kita berpegang teguh kepada ajaran agama. Namun dalam konteks negara, kita juga mengiktiraf hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan selamat,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia mampu terus kekal sebagai negara harmoni dan sejahtera selagi semua pihak mematuhi undang-undang serta menghormati kepelbagaian budaya dan agama.



Sementara itu, antara inisiatif utama yang diperkenalkan di DUN Semenyih ialah program NICE (NUSHI Indian Community Enhancement), yang memfokuskan kepada peningkatan taraf hidup komuniti India.
Melalui program tersebut, pelbagai bantuan dan sokongan disalurkan kepada golongan memerlukan termasuk mereka yang kurang berkemampuan, selain membuka ruang interaksi lebih dekat antara pemimpin dan masyarakat.
Selain komuniti India, pendekatan sama turut diperluaskan kepada kaum lain termasuk masyarakat Cina melalui pegawai khas yang dilantik, dalam usaha memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aspirasi Semenyih Sejahtera, yang menekankan keseimbangan pembangunan sosial dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan tersebut.
Dengan keterbatasan sebagai pembangkang, pihak DUN Semenyih, Selangor tetap komited untuk terus berkhidmat dan membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.



