Shah Alam, 26 April 2026 – Usaha Malaysia untuk mengangkat seni wau ke peringkat antarabangsa terus diperkukuh apabila Majlis Perasmian Penutup Bengkel Siri 1 Pencalonan Wau di bawah Senarai Perwakilan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO berlangsung dengan jayanya hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Mohamad Muda bin Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) merangkap Pesuruhjaya Warisan, bertempat di Hotel Geno.
Menurut JWN, pencalonan wau merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui jabatan itu dalam usaha memartabatkan seni warisan tradisi negara agar diiktiraf di peringkat global.


Selain memperkenalkan wau sebagai identiti budaya Malaysia kepada dunia, pencalonan ini juga bertujuan memastikan kelangsungan seni tersebut terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Menariknya, pencalonan ini akan dilaksanakan secara bersama melibatkan beberapa negara lain menerusi pendekatan multinational nomination, selaras dengan amalan UNESCO dalam mengiktiraf warisan tidak ketara yang dikongsi merentasi budaya dan sempadan negara.
Dalam majlis sama, turut diadakan sesi menandatangani surat keizinan komuniti sebagai simbol sokongan padu daripada pengamal, penggiat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seni wau terhadap usaha pencalonan tersebut.
JWN dalam kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel berkenaan, sambil menyatakan harapan agar pencalonan ini dapat direalisasikan dan menjadi satu lagi pencapaian membanggakan negara.
Sebagai penutup, semangat memartabatkan warisan turut dizahirkan melalui bait puisi:
Terbanglah wau megah berani
Membelah awan tinggi perkasa
Warisan negara kekal lestari
Dijulang tinggi ke persada dunia
Kempen kesedaran turut diperkukuh dengan seruan: “Kenali, Sayangi dan Lestari Warisan Kita”, selari dengan aspirasi negara dalam memelihara khazanah budaya untuk generasi masa depan.



