Pendaftaran SKDS Sabah, Sarawak dan Labuan Dibuka Secara Dalam Talian dan Fizikal

KUALA LUMPUR – Pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini boleh dibuat secara dalam talian dan fizikal di semua premis Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta kaunter bergerak.

Menurut kenyataan, pelaksanaan itu bertujuan memudahkan syarikat pengangkutan darat barangan yang layak untuk mendaftar dan menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan.Dalam masa sama, satu taklimat mengenai status semasa pelaksanaan Ops TIRIS 4.0 (Bersepadu) telah disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Fokus taklimat tersebut adalah berkaitan status dan dapatan operasi penguatkuasaan serta pemantauan yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta ESSCOM.

Susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, Ops TIRIS 4.0 telah diaktifkan bermula 16 Mac 2026 bagi memperkukuh usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan.Seterusnya, dua Pasukan Petugas Khas (Task Force) turut ditubuhkan di peringkat Sarawak serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memperkasa pelaksanaan operasi tersebut secara bersepadu.Sepanjang pelaksanaan Ops TIRIS 4.0 dari 16 Mac hingga 4 Mei 2026, sebanyak 38,071 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara yang menghasilkan 506 kes serta penahanan seramai 147 individu.

Daripada jumlah tersebut, penyelewengan bahan api mencatatkan kes tertinggi melibatkan diesel sebanyak 228 kes diikuti petrol (105 kes), gas petroleum cecair (64 kes), minyak masak (57 kes), gula (35 kes) dan tepung gandum (16 kes).Di Sabah, sebanyak 6,108 pemeriksaan telah dijalankan dengan 132 kes direkodkan, di mana kes berkaitan diesel mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 48 kes diikuti petrol sebanyak 37 kes.

Pelaksanaan Ops TIRIS 4.0 melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan merangkumi sektor daratan, perairan dan sempadan dengan KPDN bertindak sebagai peneraju utama bagi sektor darat, manakala PDRM dan APMM menerajui penguatkuasaan di kawasan sempadan dan perairan.Langkah bersepadu ini dilihat mampu memperkukuh kawalan terhadap penyelewengan dan penyeludupan barang bersubsidi, sekali gus memastikan bekalan serta kestabilan harga barangan di pasaran terus terjamin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *