Sambutan luar biasa terhadap kepulangan muzikal selepas hampir dua dekad
mencerminkan besarnya selera penonton terhadap teater Malaysia
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 — Dua puluh tahun selepas pertama kali menawan hati
penonton Malaysia, PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL sekali lagi mencipta
fenomena.
Kesemua tiket bagi pementasan semula yang dinanti-nantikan ini habis terjual dalam
tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka, dengan lebih 22,000 orang
masih menunggu dalam senarai menunggu dalam talian pada jam 10.00 malam.
Angka luar biasa itu memberi gambaran jelas bahawa permintaan untuk menyaksikan
produksi tersebut jauh melebihi jumlah tempat duduk yang tersedia bagi musim pementasan
kali ini.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi satu detik istimewa buat PUTERI GUNUNG LEDANG
THE MUSICAL, malah memberi petanda yang amat menggalakkan untuk industri teater dan
seni persembahan tanah air.
Bagi Tiara Jacquelina, Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, sambutan tersebut
amat mengharukan dan di luar jangkaan.
“Sejujurnya, saya sendiri hampir kehilangan kata-kata melihat apa yang berlaku malam ini.
Dua puluh tahun selepas kami pertama kali membawa Puteri Gunung Ledang ke pentas,
mengetahui bahawa rakyat Malaysia masih menyimpan cerita ini begitu dekat di hati mereka
— dan kini ada pula generasi baharu yang begitu teruja mahu mengenalinya — sangat
menyentuh hati saya,” kata Tiara.
“Dua puluh tahun lalu, kami hanya mampu berharap PGL akan menjadi sesuatu yang
dikenang oleh rakyat Malaysia. Malam ini, rakyat Malaysia mengingatkan kami bahawa
mereka tidak pernah melupakannya.”
Pada jam 10.00 malam, lebih 22,000 orang masih berada dalam barisan dalam talian
walaupun tiket telah habis terjual — satu tahap permintaan yang menurut Tiara membawa
makna jauh lebih besar daripada kejayaan sebuah produksi semata-mata.
“Bagi saya, ini bukan sekadar cerita tentang PGL. Ini satu petanda yang sangat
menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara. Ia menunjukkan
bahawa penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi
tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia.”
“Saya harap sambutan seperti ini akan memberi lebih keyakinan kepada semua pihak yang
percaya dan mahu terus melabur dalam perkembangan seni persembahan Malaysia.”
SEBUAH KEPULANGAN SELEPAS HAMPIR DUA DEKAD
Pementasan 2026 menandakan kembalinya PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL ke
pentas selepas hampir dua dekad, kali ini di rumah baharunya, Jeffrey Cheah Performing
Arts Centre (JCPAC).
Tiara merakamkan penghargaan kepada generasi peminat yang terus menyimpan PGL di
hati mereka sepanjang tempoh tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya kepada semua peminat yang telah
membawa PGL bersama mereka selama ini.
Ada yang bersama kami dua puluh tahun lalu
dan kini mahu membawa anak-anak pula untuk menontonnya. Pada masa yang sama, ada
generasi muda yang baru pertama kali akan mengenali dunia PGL. Bagi saya, itulah antara
perkara paling indah tentang kepulangan ini.”
Tiara turut merakamkan penghargaan kepada JCPAC kerana percaya bahawa produksi ini
wajar diberi nafas baharu.
“Saya amat berterima kasih kepada Jeffrey Cheah Performing Arts Centre kerana percaya
bahawa kisah ini wajar dihidupkan semula di pentas, dan khususnya kepada Melissa Teoh
yang menghubungi saya dan menjadi pencetus kepada seluruh perjalanan ini. Tanpa
perbualan pertama itu dan keyakinan JCPAC untuk membawa PGL kembali kepada
generasi baharu, kita tidak akan berada di sini hari ini.”
SEKARANG, KERJA SEBENAR BERMULA
Namun bagi Tiara dan pasukan kreatif Enfiniti, kejayaan menjual kesemua tiket bukanlah
garisan penamat.
Sebaliknya, ia menjadikan tanggungjawab mereka lebih besar.
“Buat masa ini, saya cuba untuk tidak terlalu terbuai dengan angka-angka ini.
Tanggungjawab saya sangat mudah: kami mesti menyampaikan yang terbaik. Dan bukan
sekadar memenuhi apa yang penonton ingat atau jangkakan — kami mesti melangkaui
jangkaan itu.”
“Begitulah cara saya sentiasa bekerja. Kalau penonton sanggup memberikan kami kasih
sayang dan kepercayaan sebesar ini sebelum mereka pun melihat persembahannya, maka
kami berhutang kepada mereka untuk memberikan sesuatu yang benar-benar luar biasa
apabila tirai dibuka nanti.”
Pasukan produksi kini sedang giat menjalani latihan menjelang pembukaan musim
pementasan pada 31 Oktober 2026, dengan Tiara mengarahkan generasi baharu barisan
pelakon dalam pementasan semula muzikal Malaysia yang cukup ikonik ini.
BAGAIMANA PULA DENGAN MEREKA YANG TIDAK BERJAYA MENDAPATKAN
TIKET?
Sambutan luar biasa itu sudah tentunya menimbulkan satu persoalan dalam kalangan
ribuan peminat yang tidak berjaya mendapatkan tempat.
Adakah akan ada lagi PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL selepas ini?
Walaupun belum ada sebarang pementasan tambahan yang disahkan, Tiara mengakui
kekecewaan mereka yang telah menunggu tetapi masih tidak berjaya mendapatkan tiket.
“Kepada semua yang menghabiskan malam menekan ‘refresh’, menunggu dalam barisan
dan akhirnya masih tidak berjaya mendapatkan tiket — saya benar-benar minta maaf, dan
pada masa yang sama amat terharu dan berterima kasih kerana anda begitu mahu bersama
kami. Kami nampak anda. Kami dengar anda.”»
Dan mungkin, perjalanan PGL belum berakhir di sini.
“Sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai
kemungkinan membawa PGL melangkaui musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri
lain di Malaysia. Belum ada apa-apa yang dapat kami sahkan, dan fokus mutlak kami
sekarang adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang luar biasa. Tetapi selepas
melihat sambutan ini, sudah tentu kami perlu melihat dengan serius apa lagi yang mungkin
dapat dilakukan selepas ini.”
Buat masa ini, Tiara berkata sambutan luar biasa tersebut memberikan seluruh pasukan
satu tanggungjawab yang lebih besar ketika latihan diteruskan.
“Penonton sudah memberikan kepercayaan mereka kepada kami. Sekarang giliran kami
untuk membuktikan bahawa kami layak menerima kepercayaan itu. Kami tidak sabar untuk
menyambut anda semua kembali ke Ledang.”
PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga
15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.
KESELURUHAN MUSIM PEMENTASAN TELAH HABIS TERJUAL.


