AI Bukan Pengganti Manusia, HR Perlu Fahami Gen Z – Xsolla Curine Academy

KUALA LUMPUR – Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan kemasukan generasi Z (Gen Z) ke alam pekerjaan menuntut majikan serta pengamal sumber manusia (HR) menyesuaikan pendekatan pengurusan dengan perubahan landskap pekerjaan.

Perkara itu menjadi fokus program latihan pengurusan sumber manusia menerusi Forum Next Generation Workplace: The Future of Talent yang berlangsung semalam di  Xsolla Curine Academy Eco City,Kuala Lumpur.

Prem Anan

Penganjur, En Prem Anan, berkata AI kini digunakan secara meluas dalam pelbagai industri, manakala Gen Z semakin memainkan peranan penting dalam organisasi dan bakal menjadi pemimpin masa depan. Menurutnya, program itu menghimpunkan panel daripada pelbagai latar belakang bagi membincangkan cabaran tempat kerja, berkongsi pengalaman serta menambah baik pendekatan sedia ada.

“Tujuan utama program ini bukan semata-mata untuk mencari jalan mengatasi masalah, tetapi memberi peluang kepada semua pihak untuk belajar antara satu sama lain, menambah baik pendekatan sedia ada dan berkongsi pengetahuan merentas industri,” katanya.

Beliau berkata, antara cabaran utama ialah perbezaan cara kerja dan jangkaan antara generasi berpengalaman dengan pekerja muda. Katanya, pengurusan daripada generasi milenial dan Gen X perlu memahami budaya serta perspektif Gen Z terhadap pekerjaan.

“Gen Z bukan sekadar pekerja baharu. Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, mereka akan menjadi usahawan, pemimpin organisasi, ahli politik dan individu yang menentukan hala tuju pelbagai sektor.

“Kita tidak boleh hanya mengharapkan mereka menyesuaikan diri dengan cara kerja generasi terdahulu. Kita juga perlu belajar daripada mereka kerana budaya kerja yang dibawa generasi ini berpotensi membentuk cara organisasi beroperasi pada masa hadapan,” katanya.

AI bantu pengambilan pekerja, sentuhan manusia tetap penting

Beliau berkata, AI dapat meningkatkan kecekapan kerja, namun tidak menggantikan manusia sepenuhnya.

AI boleh digunakan untuk menapis resume berdasarkan kata kunci dan kriteria tertentu, terutama ketika menerima jumlah permohonan pekerjaan yang tinggi. Bagaimanapun, penilaian akhir masih memerlukan penglibatan manusia bagi memastikan kesesuaian calon.

“AI boleh membantu menapis permohonan dan mempercepatkan proses pemilihan calon, tetapi pada peringkat akhir, manusia masih perlu membuat penilaian dan menjalankan temu duga.

“Sentuhan manusia tidak seharusnya diketepikan kerana terdapat aspek yang memerlukan pertimbangan dan pemahaman yang tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa majikan perlu menggunakan AI secara bijak sebagai alat sokongan, bukannya teknologi yang menghapuskan pekerjaan manusia.

Program latihan akan diteruskan

Beliau berkata, program seumpama itu akan diteruskan berdasarkan permintaan dan keperluan industri.

Katanya, perkembangan AI yang pesat memerlukan pembelajaran berterusan dan bukan sekadar mengikuti satu kursus.

“AI berubah dengan begitu pantas. Apa yang dipelajari hari ini mungkin memerlukan penambahbaikan dalam masa terdekat. Sebab itu, pembelajaran mengenai AI perlu menjadi proses berterusan,” katanya.

Pihaknya turut berhasrat membawa lebih ramai pakar luar negara ke Malaysia, namun berdepan cabaran membabitkan kos penerbangan, penginapan dan bayaran penceramah antarabangsa dalam dolar Amerika Syarikat.

Selain AI dan pengurusan Gen Z, topik pembangunan profesional serta keperluan industri turut dirancang.

Himpunkan panel pelbagai kepakaran

Program itu menampilkan panel daripada pelbagai latar belakang, termasuk Zainul yang berpengalaman dalam sektor pembinaan, pengurusan pekerja, kepimpinan dan keselamatan tempat kerja.

Turut terlibat ialah pakar sumber manusia Aunty HR yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan tenaga kerja, pembangunan bakat, kepimpinan, AI dan Gen Z.

Perspektif psikologi dibawakan oleh Dr Manju, manakala Daniel, wakil generasi muda berusia 30 tahun yang berpengalaman dalam perniagaan dan perlumbaan Formula 3, mewakili pandangan golongan muda.

Menurut penganjur, gabungan kepakaran itu menghasilkan perbincangan yang seimbang serta membantu majikan, pengamal HR dan pekerja memahami perubahan dalam dunia pekerjaan masa kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *