KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Syarikat teknologi bahan termaju Malaysia, Vertex Material, mengumumkan perjanjian pembelian jangka panjang bernilai kira-kira AS$2.2 bilion (USD2.2 bilion) bersama Sky-Dweller Construction LLC, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk pengembangan teknologi bahan komposit tembaganya ke pasaran India.

Perjanjian selama 15 tahun itu memperkukuh kerjasama komersial Vertex Material dengan rakan niaganya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), selain menjadi asas kepada rancangan peningkatan kapasiti pengeluaran dan pengembangan perniagaan syarikat ke peringkat antarabangsa.
Kerjasama berkenaan dibina atas rangkaian pengedaran sedia ada di Amerika Utara, khususnya AS dan Kanada, sebelum diperluas ke India yang kini menyaksikan peningkatan permintaan tembaga susulan pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan sektor automotif dan pembinaan.


Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di W Kuala Lumpur itu turut menghimpunkan wakil Vertex Material, Sky-Dweller dan Aurelius Materials, selain tetamu daripada kerajaan, pasaran modal antarabangsa dan sektor industri.
Majlis berkenaan menampilkan ucapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, serta Naib Pengerusi Nasdaq, Bob McCooey, yang menekankan potensi inovasi bahan buatan Malaysia untuk menembusi rantaian bekalan industri global.
Permintaan tembaga India meningkat 12 peratus
Pengembangan ke India dilihat sebagai langkah strategik ketika permintaan terhadap tembaga terus meningkat, terutama bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur, industri elektrik, elektronik dan pembinaan.
Menurut angka Persatuan Tembaga Antarabangsa (International Copper Association) India yang dilaporkan oleh India Brand Equity Foundation, permintaan tembaga negara itu meningkat 12 peratus tahun ke tahun kepada kira-kira 2.1 juta tan metrik bagi tahun kewangan 2025/2026.

From left: Aiden Lee, Co-Founder and Advisor of Vertex Material; Bob McCooey, Vice Chairman, Chairman, Asia Pacific, Head of International Listings of Nasdaq; Chris Lai, Co-Founder and Chief Executive Officer of Vertex Material; Peter Dhillon Singh, Director of Sky-Dweller Group; YB Datuk Chang Lih Kan, Minister of Science, Technology and Innovation; and Dato’ Frankie Tan Chin Teon, Co-Founder and Technical Director of Vertex Material.
Melalui rangkaian Sky-Dweller, kedua-dua pihak menyasarkan pembekalan bahan komposit tembaga keluaran Vertex Material kepada sektor pembuatan industri, infrastruktur elektrik dan tenaga serta aplikasi pengurusan haba bagi peralatan elektronik di India.
Sky-Dweller merupakan sebahagian daripada Aurelius Materials, sebuah syarikat berpangkalan di AS yang terlibat dalam pembinaan komersial, kediaman dan perindustrian, selain perolehan strategik serta pengedaran logam dan bahan khusus.
Sementara itu, Aurelius Materials akan menyokong pembangunan pasaran, penyelarasan pembekal, perolehan dan logistik bagi memperkukuh pelaksanaan kerjasama berkenaan.
Teknologi komposit tembaga tangani cabaran bekalan global
Ketua Pegawai Eksekutif Vertex Material, Chris Lai, berkata perjanjian itu menyediakan asas komersial yang kukuh untuk membawa teknologi bahan yang dibangunkan di Malaysia ke pasaran global.
Menurut beliau, pengembangan ke India bukan sahaja meluaskan peluang perniagaan, malah meningkatkan daya maju perancangan kemudahan pengeluaran syarikat di AS.
“Perjanjian pembelian bernilai AS$2.2 bilion ini menyediakan asas kukuh untuk fasa seterusnya dalam usaha menjadikan Vertex Material pemain industri global,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama tersebut membolehkan produk komposit tembaga proprietari syarikat dibekalkan ke India, sekali gus meluaskan peluang komersial di samping memperkukuh rangkaian pengedaran sedia ada di Amerika Utara.
Vertex Material membangunkan bahan komposit tembaga menggunakan formulasi proprietari dan proses metalurgi serbuk yang disesuaikan mengikut keperluan elektrik, haba dan mekanikal bagi aplikasi industri tertentu.
Teknologi itu menyasarkan penggunaan dalam komponen elektrik, penyaduran logam serta sistem pengurusan haba, termasuk untuk pusat data dan peralatan elektronik.
Pendekatan berkenaan bertujuan mengurangkan penggunaan tembaga tulen dalam aplikasi yang bersesuaian tanpa menjejaskan prestasi yang diperlukan.
Keperluan terhadap teknologi sedemikian semakin penting susulan pertumbuhan pusat data, aplikasi kecerdasan buatan (AI), elektrifikasi kenderaan elektrik (EV) dan pembangunan tenaga boleh baharu.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), menerusi Global Critical Minerals Outlook 2026, mengunjurkan bekalan lombong daripada projek sedia ada dan yang telah diumumkan berpotensi sekitar 25 peratus lebih rendah daripada keperluan tembaga primer menjelang 2035.
Mengulas lanjut, Chris berkata kejayaan teknologi bahan bukan hanya bergantung pada kandungan tembaga, tetapi juga keupayaannya memenuhi keperluan prestasi sambil menggunakan sumber logam secara lebih cekap.
Beliau menambah bahawa usaha membawa teknologi Malaysia ke pasaran antarabangsa memberi peluang kepada hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan untuk digunakan oleh pengeluar industri global.
Sasar kapasiti pengeluaran sejuta tan metrik menjelang 2028
Bagi memenuhi permintaan yang semakin berkembang di Amerika Utara dan India, Vertex Material turut mempercepat perancangan membangunkan kemudahan pembuatan berskala besar di AS.
Syarikat itu sedang menilai beberapa lokasi di Arizona dengan kerjasama Greater Phoenix Economic Council bagi mengenal pasti tapak dan insentif yang bersesuaian.
Arizona dipertimbangkan kerana kedudukannya sebagai hab perindustrian yang menempatkan industri perlombongan tembaga, pembuatan semikonduktor, pembekal bahan dan tenaga kejuruteraan.
Kemudahan yang dicadangkan itu menyasarkan kapasiti pengeluaran tahunan sehingga sejuta tan metrik, dengan pengeluaran komersial disasarkan bermula pada 2028.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek tersebut masih tertakluk pada pemilihan tapak akhir, pembiayaan dan kelulusan pihak berkuasa, manakala kapasiti berkenaan dijangka dicapai secara berperingkat.
Vertex Material turut menyatakan nilai perusahaan syarikat itu dianggarkan sekitar AS$7 bilion berdasarkan laporan penilaian yang disediakan oleh sebuah firma perakaunan Malaysia.
Selaras dengan pengembangan operasi dan rangkaian komersial antarabangsa, syarikat berkenaan menyasarkan penyenaraian langsung di Nasdaq pada 2027, tertakluk pada pematuhan keperluan kawal selia serta kelulusan berkaitan.
Perjanjian bernilai AS$2.2 bilion itu sekali gus menandakan langkah penting dalam usaha Vertex Material memperluas penggunaan teknologi bahan komposit tembaga Malaysia ke pasaran global, di samping membina asas bagi pertumbuhan kapasiti pembuatan dan perniagaan antarabangsa pada masa hadapan.


