Buffet Ramadan Royale Chulan Seremban 2026 Tampil Lebih 150 Hidangan Bertemakan ‘Warna Rasa’


SEREMBAN: Royale Chulan Seremban memperkenalkan Buffet Ramadan 2026 bertemakan “Warna Rasa”, menampilkan kepelbagaian cita rasa dan warna masakan tradisional tempatan sepanjang bulan Ramadan ini.

Lebih 150 jenis hidangan disajikan, sekali gus menjadikannya antara buffet Ramadan paling lengkap di Seremban, dengan penekanan kepada lauk-pauk warisan yang kaya rasa dan nostalgia.
Menurut Pengurus Besar Royale Chulan Seremban, En. Abd Halim Md Yusof, tema “Warna Rasa” dipilih bagi mencerminkan kepelbagaian budaya serta keunikan masakan tradisional yang menjadi identiti utama buffet Ramadan hotel berkenaan.

“Tema ‘Warna Rasa’ melambangkan kepelbagaian cita rasa serta kekayaan masakan tradisional yang penuh warna dan nostalgia. Kami ingin menawarkan pengalaman berbuka puasa yang bukan sahaja mengenyangkan, malah mencipta memori indah untuk dinikmati bersama insan tersayang,” katanya.

Antara hidangan utama yang menjadi tarikan termasuk Rendang Pucuk Ubi, Pecal Warisan Sri Menanti, Rojak Buahan, Kambing Golek, Oxtail Assam Pedas, Itik Rendang Daun Puding, Daging Masak Lomak Nogori serta Royale Shellout.


Hidangan kegemaran ramai seperti Satay Ayam dan Satay Daging turut disajikan bersama Nasi Himpit, Kuah Kacang, Timun dan Bawang. Selain itu, menu sup seperti Sup Campur Istimewa menawarkan pilihan Daging Batang Pinang, Tulang Rawan, Perut Lembu dan Urat Keting Lembu, manakala stesen mi menyediakan Mee Kuning, Bee Hoon dan Kway Teow dengan pelbagai pilihan bahan tambahan.


Bagi pencuci mulut, tetamu boleh menikmati pelbagai sajian tradisional antaranya Buahan Potong, Kuih Sopang, Lengkong Santan, Agar-agar Susu dan Puding Kelapa, Talam Gula Merah, Kuih Sagu, Kuih Kasturi, Serawa Durian bersama Pulut Pandan, Putu Kacang, Biskut Makmur dan Kuih Bahulu, selain Kurma Tangkai dan Roti Arab.
Mengulas sambutan Food Preview Ramadan tahun lalu, Abd Halim berkata maklum balas yang diterima amat memberangsangkan, khususnya daripada pihak media, rakan korporat dan tetamu jemputan.

“Maklum balas positif itu menjadi pemangkin kepada kami untuk mempersembahkan Buffet Ramadan yang lebih lengkap dan berkualiti pada tahun ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa buffet Ramadan di Royale Chulan Seremban direka untuk dinikmati oleh semua kaum, dengan hidangan bersifat universal walaupun berteras masakan tradisional Melayu.
Buffet Ramadan bertemakan “Warna Rasa” ini dijangka menjadi pilihan utama masyarakat setempat dan pengunjung luar sepanjang bulan Ramadan, menawarkan pengalaman berbuka puasa yang lengkap, meriah dan bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *