CAPAI PEMBANGUNAN LESTARI: KOPERASI DIGALAK BERTINDAK LEBIH CEPAT, EFEKTIF
Persidangan Penyelidikan Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP) ke-17 yang membawa tema “Koperasi Mempromosikan Tanggungjawab Sosial untuk Agenda 2030” bertujuan untuk menggalakkan koperasi bertindak lebih cepat dan efektif bagi menuju kemajuan pembangunan lestari.
Lebih 100 peserta yang terdiri daripada pemimpin koperasi dan penyelidik serta pelajar dari Jabatan Koperasi dan Pembangunan Sosial, Polytechnic University of the Philippines (PUP) menyertai program tersebut yang diadakan secara hibrid di Manila, Filipina selama dua hari bermula hari ini (4 November 2023).
Program itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelidikan Koperasi ICA-AP (CCR) dengan kerjasama Jabatan Koperasi dan Pembangunan Sosial PUP.
Hadir sama dalam persidangan berkenaan ialah Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balu Iyer, Pengerusi CCR, Dr. Yashavantha Dongre, Timbalan Pentadbir Cooperative Development Authority (CDA), Mr. Ray Elevazo, Pengerusi Jabatan Koperasi dan Pembangunan Sosial PUP, Dr. Hilda F. San Gabriel serta Ketua Pegawai Operasi National Confederation of Cooperatives (NATCCO), Ms. Daisybelle M. Cabal.
Wakil gerakan koperasi Malaysia yang hadir sama secara fizikal ialah Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Cooperative Housing International, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Timur, Puan Haslinda Sujak manakala Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa, Encik Mohd Zaib Mat Yunus menyertai secara dalam talian.
Persidangan kali ini menampilkan lebih 50 penceramah yang terdiri daripada penyelidik dari universiti tempatan dan antarabangsa serta koperasi meliputi pelbagai bidang dari sembilan negara iaitu India, Jepun, China, Chile, Malaysia, Australia, Filipina, Korea Selatan dan United Kingdom.