“Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 Tamat Gemilang, Warisan Kulinari & Seni Tradisi Terus Dihidupkan”

KOTA BHARU – Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan yang berlangsung sepanjang tiga hari diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Majlis penutup pada 7 September itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Zameri Mat Nawang bersama Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohamad Muda Bahadin, yang menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik dalam pertandingan berasaskan budaya, kulinari dan seni warisan Melayu.

Antara acara yang mencuri perhatian ialah Pertandingan Belah, Kukur Nyiur dan Perah Santan, menyaksikan kumpulan Silaturahim muncul juara, diikuti Anak Kampung (naib johan) dan Anggerik (tempat ketiga). Semua pemenang membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan serta hamper sumbangan Adabi, manakala kumpulan Onde-Onde, Karabu Sarang dan Bunga menerima saguhati.

Festival turut dimeriahkan dengan Pertandingan Masakan Warisan Pantai Timur yang membabitkan hotel-hotel ternama. Crown Garden Hotel menjuarai pertandingan tersebut, diikuti Grand Riverview Hotel dan Perdana Kota Bharu. Hotel lain seperti Ibis Styles, Renai Hotel, H Elite, Jewel Kota Bharu, Tok Aman Bali dan Holiday Villa turut menerima hadiah saguhati.
Dalam Pertandingan Fotografi Makanan Warisan, hasil karya Azmi Han yang dikongsi di Facebook dinobatkan sebagai juara, manakala Juana Jamaludin dan Suhaillawati Mohamed masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, dua pertandingan gubahan iaitu Pulut Kuning dan Sirih Junjung turut mendapat sambutan hangat. Gubahan pulut kuning oleh Norshida Che Hussin diumumkan pemenang pertama, diikuti Sharoza Mohd Shabudin dan Noor Suriani Mohamad. Bagi gubahan sirih junjung pula, karya Nik Suratol Che Mud menawan hati juri untuk meraih gelaran juara, manakala Zienirah Yunus dan Nor Suzielah Mohd Nor masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai, sijil penyertaan serta hamper sumbangan Adabi sebagai penaja utama festival.

Dalam kesimpulan, Dr. Eyo Leng Yan, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara JWN, menyifatkan festival ini mencapai matlamat utama dalam mempromosikan keunikan kulinari dan budaya Pantai Timur.
“Program Cita Rasa Warisan di Pantai Timur ini berjaya mencapai sasaran kita untuk memperkenalkan makanan tradisional kepada masyarakat, khususnya generasi muda. Lebih 150 menu makanan warisan dari 10 jajahan di Kelantan diketengahkan bersama seni persembahan seperti Menora dan Mak Yong yang semakin jarang dipertontonkan. Sambutan rakyat amat menggalakkan, dan ia memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri makanan warisan yang hampir pupus seperti nasi seratus, itik solo dan ros lidah,” katanya.
Beliau turut menambah, selepas Pantai Timur, siri festival akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa, sebelum penutupnya di Pulau Pinang.

Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 sekali lagi membuktikan bahawa warisan budaya negara terus mendapat tempat di hati rakyat serta mengukuhkan lagi usaha Jabatan Warisan Negara dalam memelihara dan mempromosikan identiti bangsa.