Festival Citarasa Warisan @ KL – Ketuk-Ketuk Senduk Mak Chef Hidupkan Masakan Tradisi

  • September 15, 2025
  • 2 min read
Festival Citarasa Warisan @ KL – Ketuk-Ketuk Senduk Mak Chef Hidupkan Masakan Tradisi

KUALA LUMPUR, 15 September 2025 – Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur meriah dengan kehadiran Chef Dr. Liza Zainol, yang menampilkan keunikan masakan tradisional negeri Kedah dan Negeri Sembilan kepada pengunjung.

Bertempat di Laman 6, lokasi yang menyemarakkan semangat kulinari tempatan, Chef Dr. Liza berkongsi pengalaman memasak empat menu warisan, termasuk nasi lemuni dan beberapa hidangan asli lain, dengan penuh penghayatan.

Beliau ditemani oleh barisan chef terkemuka negara, termasuk Chef Yohanis, Chef Mohd Yusof, dan Chef Azhar, yang turut memeriahkan program ini.

Demo masakan

“Syukur Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Jabatan Warisan Negara dan pihak penganjur yang menjemput saya untuk berkongsi idea, rasa, dan pengalaman memasak bersama,” ujar Chef Dr. Liza.

Rahsia Nasi Lemuni Kedah

Salah satu hidangan tumpuan ialah nasi lemuni dari Kedah, yang terkenal dengan aroma daun lemuni (Vitex trifolia). Nasi ini dimasak menggunakan santan, halia, bawang, dan daun lemuni yang diolah menjadi air perasa, menyerupai nasi lemak tradisional tetapi dengan aroma herba unik. Sambal yang digunakan boleh berupa sambal ikan talang masin atau sambal bilis, memberikan rasa kaya dengan warisan tempatan.

Pengunjung diberi peluang merasa makanan

Chef Dr. Liza turut memperkenalkan sambal nyok, yang diolah bersama cili, mangga muda, dan daun kaduk, menambah aroma dan keaslian pada hidangan.

Air Janda Pulang Negeri Sembilan

Acara ini juga menampilkan minuman warisan dari Negeri Sembilan, iaitu air janda pulang yang berasal dari Kuala Pilah. Minuman ini disediakan daripada air kelapa muda, isi kelapa muda, dan gula enau, dengan opsyen menambah sedikit air asam jawa atau garam untuk seimbangan rasa. Minuman ini terkenal dengan rasa manis yang menyegarkan dan identiti warisan tempatan yang unik.

Jommm batur untuk segelas air janda

Meriah Bersama Makanan & Budaya

Selain sesi demonstrasi masakan, pengunjung berpeluang menikmati persembahan tradisional, tarian, dan nyanyian warisan, menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Chef Dr. Liza berharap pengalaman ini dapat membuka mata generasi muda untuk terus menghargai dan mengekalkan masakan warisan Malaysia.

Ting ting ting, masa untuk makan

“Saya bersyukur kerana cuaca hari ini baik dan pengunjung bersetuju untuk sama-sama menjayakan Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur. InsyaAllah, tahun depan kita jumpa lagi,” tambah beliau.

Festival ini berlangsung dari 9 pagi hingga 12 malam, menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri hidangan warisan serta menimba ilmu tentang teknik memasak tradisional.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan dan keaslian makanan warisan negara di Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur, Laman 6. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *