“Jom Bekwoh! Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 Kembali Memeriahkan Kelantan”

  • August 27, 2025
  • 3 min read
“Jom Bekwoh! Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 Kembali Memeriahkan Kelantan”

Kota Bharu, Kelantan – 5–7 September 2025 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, akan menganjurkan Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 (FCRW2025) selama tiga hari bertempat di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. Festival ini berlangsung dari 9.30 pagi hingga 10.30 malam, menampilkan pelbagai aktiviti dan juadah warisan yang memikat selera.

Pengarah, Bahagian Warisan Tidak Ketara, Dr. Eyo Leng Yan

Majlis perasmian dijadualkan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Sultanah Kelantan, dan turut dihadiri oleh YAB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, serta YBhg Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.

Festival ini bertujuan mempromosi, memartabat, dan melestarikan makanan warisan, khususnya yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]. Setakat ini, sebanyak 213 makanan telah diiktiraf, termasuk Nasi Kerabu, Kuih Cek Mek Molek, Kuih Jala Emas, Kuih Lompat Tikam dan Budu.

Kelantan dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri ini kaya dengan makanan warisan dan terkenal dengan seni persembahan, kraftangan dan permainan tradisional yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Mak Yong, Wayang Kulit Kelantan, Menora, Songket, Batik, Wau Bulan, dan Gasing.

FCRW2025 bertemakan “Jom Bekwoh”, membawa nostalgia kenduri-kendara yang semakin dilupakan generasi kini. Lebih 60 gerai akan menyajikan makanan warisan dari sepuluh (10) daerah di Kelantan, melalui kerjasama Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan dan Malaysian Craft Council.

Antara juadah yang ditawarkan:

Lauk-pauk tradisi seperti gulai daging kawah, kerabu beko, gulai daun kilek, dan ikan bekok.

Nasi tradisional termasuk nasi ulam, nasi tumpang, nasi dagang, dan laksam.

Kuih-muih warisan seperti akok, nekbat, jala emas, dan kuih boko ubi.

Minuman tradisional seperti air pandan serai dan teh herba kampung, serta produk tani dan rempah tempatan.

Aktiviti menarik sepanjang festival:

Persembahan seni kebudayaan tradisional: Mak Yong, Wayang Kulit, Menora, Dikir Barat, Lagu Rakyat, Zapin Salor, Tarian Asyik, Tarian Singa, Pergendangan Siam, India, Melayu dan Cina.

Heritage street performance, menonjolkan kepelbagaian budaya Kelantan secara ringkas dan estetika.

Aktiviti Jom Bekwoh, memasak beramai-ramai bersama komuniti.

Pertandingan memasak tradisi antara hotel, belah kukur nyior, perah santan, gubahan pulut kuning dan sireh junjung.

Pertandingan POV, fotografi dan video promosi, serta aktiviti fun walk semutar.

Festival ini juga mengetengahkan makanan warisan yang hampir pupus seperti Itik Solor, Nasi 100, Apam Bakar dan Ros Lidah. Selain itu, sesi perkongsian “Kota Bharu as a Creative City of Gastronomy” akan menonjolkan aspirasi Kota Bharu sebagai kota kedua selepas Kuching untuk mendapat pengiktirafan UNESCO.

Melalui festival ini, MOTAC menekankan kelestarian budaya, kesejahteraan ekonomi komuniti, dan pemeliharaan nilai warisan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. FCRW2025 bukan sahaja memeriahkan Kelantan, tetapi juga memperkasa ekonomi tempatan dan menyemai rasa bangga terhadap warisan budaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *