KUALA LUMPUR – Kerajaan kini dalam peringkat menyediakan pelan perlindungan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) sebagai langkah untuk menstruktur semula kos perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang terus meningkat.
Keputusan tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini.
Menurut Amir Hamzah, pelan perlindungan asas itu dirangka bagi memastikan orang ramai kekal mendapat akses kepada perlindungan rawatan swasta pada kadar yang berpatutan, terutamanya bagi golongan yang terjejas akibat kenaikan premium atau perubahan terhadap pelan sedia ada.
Amir Hamzah berkata, inisiatif berkenaan membolehkan orang ramai menilai keperluan perlindungan, memahami proses tuntutan serta merancang belanjawan peribadi dengan lebih tersusun.
Bagi meningkatkan ketelusan pasaran, kerajaan juga telah menerbitkan julat kos penanda aras bagi prosedur perubatan lazim di hospital swasta sebagai rujukan kepada pengguna.



