Kozae Kembali Dengan Lagu ‘Pengubat Rindu’ – Projek Istimewa Bersama Penyanyi Misteri ‘NXR’

KOTA KINABALU, Ogos 2025 – Selepas kejayaan projek kolaborasi REALITI bersama Azharina pada 2024, artis hip-hop tanah air Kozae dari One Nation Emcees kembali dengan single terbaru berjudul “Pengubat Rindu”, sebuah lagu berentak Rap Balada yang mengetengahkan tema persahabatan dan perjalanan untuk ‘move on’ dalam kehidupan.
Lagu ini mencuri perhatian ramai kerana alunan merdu vokal penyanyinya yang mengingatkan pendengar kepada suara allahyarham Sudirman, sehingga ada yang beranggapan ia adalah hasil karya Artificial Intelligence. Namun, hakikatnya “Pengubat Rindu” adalah projek khas Kozae bersama penyanyi misteri bernama ‘NXR’, yang tidak lain adalah sahabat rapatnya sendiri.
Menurut Kozae, idea lagu ini tercetus selepas beliau berjumpa kembali dengan NXR di platform media sosial, setelah lama terputus hubungan. Segera selepas itu, ilham untuk mencipta “Pengubat Rindu” muncul secara spontan.
Apa yang lebih menarik, inspirasi asal lagu ini datang daripada pengalaman peribadi Kozae sebagai anak seni semasa menyertai One Nation Emcees. Namun, selepas mendalami lirik lagu, ia turut secara tidak sengaja menceritakan pesanan terakhir sahabat baik Kozae, allahyarham Jojoe, yang mula berhijrah meninggalkan hal duniawi untuk fokus kepada ibadah. Antara kata-kata yang masih diingati Kozae adalah:
“Kalau ingat aku, bolehlah jadikan ini sebagai pengubat rindumu.”
Kata-kata ini diberikan seminggu sebelum Jojoe menghembuskan nafas terakhirnya, menambah lagi nilai sentimental kepada lagu ini.
Dari segi teknikal, lagu “Pengubat Rindu” dikompos oleh Kozae bersama Dan.el, manakala liriknya merupakan hasil kerjasama Kozae, Trigga, dan Dan.el.
Bermula 15 Ogos 2025, peminat boleh mendengar “Pengubat Rindu” di semua platform penstriman utama termasuk Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music.
Tentang Kozae
Kozae merupakan salah seorang anggota hip-hop berpengaruh tanah air, terkenal dengan bakat rap yang versatil dan lirik yang padu serta mendalam. Beliau sering bekerjasama dengan artis-artis terkemuka dalam dan luar negara, menjadikan setiap projek yang dihasilkan sentiasa dinantikan peminat.





