KPDN Tegaskan Larangan Isi Minyak Dalam Tong Tanpa Permit Khas

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan penjelasan berhubung isu pengisian minyak petrol ke dalam tong selain tangki asal kenderaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut KPDN, di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, stesen minyak hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel untuk dua kategori sahaja:

  1. Tangki asal kenderaan atau tangki yang diluluskan oleh agensi berkaitan; dan
  2. Pemegang Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDN di bawah akta yang sama.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Bin Adam, dalam kenyataan media menegaskan bahawa langkah ini bertujuan untuk mencegah penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

“Mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol atau diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan, mereka perlu memohon dan mendapat kelulusan Permit Khas terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menjelaskan, pembelian melalui Permit Khas ini adalah untuk kuantiti 20 liter ke atas dan berdasarkan harga pam semasa, bukannya harga subsidi.

Permohonan Permit Khas boleh dibuat secara dalam talian melalui portal https://spb.kpdn.gov.my/ secara percuma. Setakat ini, 10 kategori layak memohon permit tersebut, antaranya:

· Forklift
· Pengangkutan air
· Penduduk kawasan pedalaman dan pulau
· Pengusaha industri makanan
· Rekreasi air
· Pertanian dan penternakan
· Bantuan kecemasan
· Penyelenggaraan
· Pelancongan
· Pembinaan berskala kecil

Pemegang permit dibenarkan menggunakan tong drum, plastik atau bekas selamat yang sesuai mengikut kuantiti, lokasi stesen minyak, tempoh dan kekerapan yang diluluskan.

KPDN turut menegaskan bahawa tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan membeli minyak dalam tong di stesen minyak, kecuali bagi kes kecemasan dengan kuantiti di bawah 20 liter.

Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan atau maklumat boleh menghubungi:

· WhatsApp: 019-848 8000
· Portal e-Aduan: https://eaduan.kpdn.gov.my
· Call Centre: 1-800-886-800
· Aplikasi Ez ADU KPDN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *