Kenaikan harga diesel yang berterusan berpotensi mencetuskan tekanan inflasi dan memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan serta harga barangan keperluan harian.
Sehubungan itu, kerajaan perlu campur tangan secara proaktif bagi memantau harga perkhidmatan logistik dan barangan asas bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak terkawal.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu memberi perhatian khusus terhadap kesan kenaikan harga diesel terhadap sektor pengangkutan dan pertanian. Subsidi khas wajar disalurkan kepada industri logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengelakkan peningkatan kos pengeluaran yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna.
Kerajaan juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa pada tahun 2022, ketika harga minyak mentah dunia mencecah AS$128 setong, harga diesel domestik hanyalah RM2.15 seliter. Namun pada tahun 2026, apabila harga minyak mentah sekitar AS$112 setong, harga diesel tempatan meningkat kepada RM4.72 seliter, malah lebih tinggi berbanding negara seperti China, Singapura dan Thailand.
Dalam menghadapi kenaikan harga minyak, pendekatan pelbagai strategi perlu dilaksanakan, termasuk memperhalusi mekanisme subsidi agar lebih bersasar kepada golongan berpendapatan rendah serta memperkukuh pemantauan kos logistik bagi mengekang kenaikan harga barangan secara berantai.
Kerajaan juga perlu menggunakan instrumen fiskal untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat, bukannya terus menyalahkan pihak lain.
Janji terdahulu berhubung penurunan harga minyak juga tidak wajar dipandang ringan, dan kepimpinan negara perlu menunjukkan kebertanggungjawaban terhadap janji yang telah dibuat kepada rakyat.
Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia seharusnya memanfaatkan keuntungan daripada harga minyak yang tinggi untuk membantu rakyat, khususnya dalam memastikan kos sara hidup kekal terkawal.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional
Parti Gerakan Rakyat Malaysia



