Malaysia Pimpin Empat Resolusi Utama Koperasi ASEAN di ACD2025

PETALING JAYA, 14 Mei 2025 – Malaysia terus menonjol sebagai kuasa penggerak utama dalam pembangunan koperasi serantau selepas ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) 2025 melahirkan empat resolusi penting untuk memperkukuh koperasi ASEAN.

ACD2025 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel selama dua hari telah mengesahkan pengiktirafan rasmi ASEAN Co-operative Organization (ACO) sebagai badan induk yang mewakili koperasi seluruh ASEAN. Presiden ANGKASA dan Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata pengiktirafan ini membuka peluang kepada ACO untuk terlibat secara langsung dalam merangka dasar dan memperjuangkan agenda koperasi di peringkat serantau dan global.


“Dengan lebih 300,000 koperasi dan 65.7 juta ahli di rantau ini, ACO mampu menyatukan suara koperasi ASEAN untuk terus berkembang dan berdaya saing,” ujarnya.
Empat resolusi yang dihasilkan akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei 2025, menandakan komitmen kuat negara anggota dalam memastikan koperasi menjadi pemain utama dalam ekonomi serantau yang inklusif dan mampan.
ACD2025 juga mengangkat tema “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat”, sejajar dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan serta Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC 2025).

Dengan penyertaan lebih 250 pemimpin koperasi dan wakil kerajaan dari 12 negara, acara ini mengukuhkan kerjasama dan jaringan strategik demi memajukan koperasi di Asia Tenggara.
Malaysia, sebagai tuan rumah dan pengerusi ASEAN 2025, komited memperkasakan koperasi sebagai tonggak pembangunan ekonomi yang adil dan lestari.