Noraniza Idris Lancar Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa


TERMA 2025 angkat warisan Malaysia ke pentas dunia
Shah Alam, 25 Ogos – Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris sekali lagi mencipta sejarah apabila melancarkan Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027, bersempena acara TERMA – Transcultural Ethnic Rhythms of Malaysia & Asia yang berlangsung penuh meriah di Galeria SA Sentral, Shah Alam.


Majlis yang dirasmikan oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, Exco Kebudayaan & Perumahan Negeri Selangor itu turut mendapat keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj.
Pertandingan Tarian 6 Negara



Lebih bermakna, pelancaran TERMA 2025 turut menyaksikan pertandingan persahabatan antarabangsa dengan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, China, Thailand, India dan Sri Lanka.
Malaysia & Indonesia berjaya membawa pulang Pingat Emas,
China & Thailand meraih Perak, manakala
India & Sri Lanka menerima Gangsa.
Kejayaan ini sekaligus mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab utama seni dan budaya rantau Asia.
Zapin ke Peringkat Global

Dalam majlis itu, Noraniza turut memperkenalkan Roots of Zafana – sebuah inisiatif memperkasakan zapin melalui Zapin Living Lab, arkib digital & fizikal yang bakal menjadi pusat dokumentasi rasmi seni tari warisan tersebut. Projek ini dijayakan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat sokongan TH Travel & Services.

“Jika dahulu pencarian budaya saya diterjemahkan dalam lagu Irama Malaysia, kini saya mahu melahirkan arkib zapin untuk generasi pelapis. Roots of Zafana akan menjadi sumber rujukan warisan yang bertahan lebih 100 tahun akan datang,” kata Noraniza.
Lebih menarik, program ini akan menjelajah ke seluruh Malaysia sebelum diperluaskan ke Sepanyol, sebagai simbol kesinambungan zapin dalam dunia Islam. Puncaknya, Festival Empayar Akar Kita Zapin (AKZ 6.0) dijadual berlangsung pada 21–25 September 2026 dengan penyertaan antarabangsa.
TERMA 2025 Oktober Ini


Festival utama TERMA 2025 bakal diadakan pada 11 & 12 Oktober 2025 di Shah Alam, menampilkan kategori pertandingan:
Kanak-kanak 7–12 tahun
Remaja 13–17 tahun
Terbuka 13 tahun ke atas
Juara kebangsaan akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa bagi merebut Platinum, Gold, Silver dan Bronze Award, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai pusat tarian rakyat Asia.
Persembahan Eksklusif & Single Baharu
Majlis pelancaran turut diserikan dengan pra-dengar single terbaru berjudul Bintang Terang nyanyian Ihab Ismail dan Azmir Arif, ciptaan Aidit Alfian dengan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya. Persembahan gilang-gemilang oleh Noraniza Idris bersama 39 penari Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) melengkapkan acara.
Malaysia Sebagai Ikon Budaya Dunia
Pelancaran TERMA 2025 menegaskan komitmen Noraniza Idris bersama Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya selaku rakan strategik, dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan JKKN, dalam mengangkat zapin sebagai identiti budaya Malaysia yang bernilai tinggi dan mampu bersaing di pentas dunia.