KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan tahap keselamatan serta ketelusan dalam pelaksanaan tugas, anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menggunakan Body Worn Camera (BWC) ketika menjalankan kawalan di kawasan Bazar Ramadan dan Bazar Syawal.
Penggunaan peranti ini bertujuan untuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti, di samping melindungi keselamatan pegawai serta orang awam.
Rakaman juga dapat dijadikan bukti sekiranya berlaku insiden, sekali gus membantu mengurangkan sebarang pertikaian ketika proses penguatkuasaan dijalankan.
Body Worn Camera akan digunakan dalam beberapa situasi seperti semasa rondaan di kawasan bazar, semasa pemeriksaan lesen peniaga, ketika berinteraksi dengan orang awam dan semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan.
DBKL komited memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, profesional dan berhemah demi kesejahteraan warga kota.



