Selangor catat 34.5 juta pelawat tertinggi di Malaysia.

SELANGOR, 20 Jun 2025 – Selangor sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dilawati di Malaysia dengan mencatatkan jumlah pelawat sebanyak 34.5 juta orang pada tahun 2024, menurut laporan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Selangor telah mengatasi Kuala Lumpur (27 juta) dan Perak (21.8 juta) sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi selama empat tahun berturut-turut sejak tahun 2021. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25% berbanding tahun 2023, di mana Selangor menerima 27.6 juta pelawat.

Antara pemacu utama pertumbuhan ini adalah pengenalan produk dan pengalaman pelancongan baharu di seluruh Selangor sejak tahun 2024, termasuk tarikan seperti SplashMania Waterpark, Skyline Luge, The Hillock Hulu Tamu, Beacons Resort dan banyak lagi. Tarikan-tarikan ini turut disokong oleh acara berimpak tinggi seperti Konsert Mega Tahun Melawat Selangor 2025, MotoGP Malaysia, Petaling Jaya Half Marathon dan lain-lain. Dalam masa yang sama, Selangor turut menyaksikan peningkatan berterusan dalam segmen pelancongan khusus seperti pelancongan perubatan, pelancongan golf, pelancongan pendidikan, agropelancongan dan ekopelancongan, sekali gus mempelbagaikan lagi tawaran pelancongan negeri ini.
Pihak Berkuasa Tempatan, pengusaha pelancongan dan rakan industri turut memainkan peranan penting dalam mengaktifkan inisiatif-inisiatif ini, sekali gus mewujudkan ekosistem pelancongan yang dinamik dan terus menarik kehadiran pelawat tempatan serta antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, dalam satu kenyataan berkata, kami sedang menggandakan usaha menjelang separuh tahun kedua 2025, termasuk pelancaran Geran Tahun Melawat Selangor 2025, yang akan menawarkan penajaan sehingga RM300,000 bagi lebih 30 acara dan projek berkaitan pelancongan. Selain itu, program Hos Komuniti Selangor telah diaktifkan semula, dengan pelantikan 50 hos komuniti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Inisiatif ini mengukuhkan pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar serta meningkatkan pengalaman pelawat.
“Kami yakin lebih banyak program pelancongan secara kolaboratif akan terbentuk. Kerjasama Awam-Swasta bersama jenama seperti Sony Malaysia, Batik Air, Cuckoo dan AVIS Malaysia juga telah membuka jalan kepada pelaksanaan kempen pelancongan yang berimpak tinggi”, tambah Chua lagi.
Negeri Selangor berhasrat untuk memperluas infrastruktur pelancongan, mempergiat inisiatif pemasaran digital serta memperkenalkan pengalaman pelancongan yang inovatif bagi mengekalkan momentum TMS2025 dan seterusnya menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
—TAMAT—
GAMBAR:
Mengenai Tourism Selangor
Tourism Selangor merupakan Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor yang ditubuhkan bagi meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Selangor dengan mempertingkat dan membangunkan keindahan negeri yang terkenal serta belum ditemui.
Negeri ini merangkumi 9 daerah, termasuk Petaling, Gombak, Klang, Sepang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor. Kawasan ini dikenali sebagai destinasi pelancongan dan acara yang menarik.
Terdapat banyak inisiatif telah diambil bagi mencapai matlamat ini, seperti penganjuran kempen tempatan dan antarabangsa, acara, misi perdagangan pelancongan luar negara, jelajah tempatan dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://selangor.travel/ atau ikuti kami di laman Twitter, Facebook dan Instagram





