Serangan berterusan terhadap penghakiman kes SRC INTERNATIONAL

  • June 10, 2022
  • 2 min read
Serangan berterusan terhadap penghakiman kes SRC INTERNATIONAL

10 Jun 2022- PEJUANG Muda Malaysia mengecam sekeras-kerasnya usaha serangan terbuka berterusan sebilangan pihak berkepentingan secara langsung dan tidak langsung dalam melibatkan peringkat akhir rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Terbaru, gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta agar ditubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat salah laku dan pelanggaran etika kehakiman terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, YA Dato’ Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah sangat canggung dan mengelirukan.

Umum mengetahui bahawa serangan ini ditujukan kepada hakim tersebut secara spesifik adalah kerana beliau yang telah menghakimi kes SRC International di peringkat Mahkamah Tinggi dan mendapati bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak sebagai bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan.Ketua Pemuda UMNO itu memetik Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan bagi mewajarkan penubuhan tribunal khas tersebut. Namun, beliau gagal memahami Perkara 125 itu dengan baik termasuk mungkin terlepas pandang dalam membaca bersama Kod Etika Hakim 2009. Adalah perlu dibezakan dengan cermat akan tuduhan atau laporan jenayah yang melibatkan siasatan SPRM atau PDRM dengan pelanggaran Kod Etika Hakim.

Berdasarkan rekod, SPRM pada 21 Mei 2022 telah memaklumkan secara terbuka bahawa siasatan yang dilakukan keatas YA Dato’ Mohd. Nazlan berhubung tuduhan pemilikan wang RM 1 juta dari hasil yang meragukan, telah siap dan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan dan tindakan lanjut. Adalah tidak cermat dan melulu bagi seorang ahli politik senior dari blok kerajaan untuk mencadangkan sebuah tribunal khas berbanding menunggu keputusan dan tindakan dari Pejabat Peguam Negara setelah siasatan sempurna dijalankan.

Segala serangan bertalu-talu terhadap urusan kehakiman dalam kes ini secara khusus adalah amat mudah untuk dijangka atas sebab apa. Dato’ Sri Najib Razak telah diberikan ruang pembelaan seluas-luas dan kebebasan yang mencukupi untuk membela diri beliau. Malaysia dan seluruh rakyat berhak melihat proses perundangan berjalan dengan adil dan saksama tanpa manipulasi undang-undang dan kedudukan politik.

DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDINKetua PEJUANG Muda MalaysiaParti Pejuang Tanahair (PEJUANG)

10 JUN 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *