SERUAN TEGAS MELINDUNGI KOMUNITI DAN KANAK-KANAK

KUALA LUMOUR, Khamis | 12 Jun 2025, Wanita KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya kewujudan halaman media sosial “Grup Budak Sekolah” yang dipercayai mempunyai unsur jenayah pengantunan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menuntut tindakan tegas dan segera khususnya daripada PDRM, SKMM dan KPWKM dalam menangani kelucahan, jenayah pengantunan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Pihak berkuasa perlu memastikan kanak-kanak terus dilindungi di bawah undang-undang Negara.
Wanita KEADILAN juga menyeru ibu bapa dan seluruh masyarakat untuk sentiasa cakna dan bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada elemen keganasan seksual termasuk memantau kewujudan halaman/kumpulan media sosial yang mempunyai unsur kelucahan, jenayah pengantunan dan gangguan seksual serta memantau komen jelik yang menyentuh maruah kanak-kanak.
Seluruh masyarakat diseru untuk segera bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa dan mengambil tanggungjawab melindungi kanak-kanak.
Wanita KEADILAN komited untuk memainkan peranan proaktif termasuk dengan melaksanakan siri advokasi dan literasi perlindungan kanak-kanak dalam komuniti. Ini penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melindungi kanak-kanak dan seluruh komuniti daripada gangguan seksual. Isu keselamatan di media sosial turut perlu diberi perhatian sewajarnya.
WANITA KEADILAN MALAYSIA





