SKO Sumbar Ungguli Perlawanan Persahabatan U-17 Malaysia–Indonesia, Ijazamaxx Sport Malaysia platform penting bagi pendedahan antarabangsa pemain-pemain muda dua negara.

CYBERJAYA, 24 Januari 2026 – Pasukan Akademi SKO Sumbar Padang, Indonesia, mempamerkan aksi bertenaga dan berdisiplin apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas Akademi Bolasepak Tunas Lagenda Putrajaya, Malaysia dalam perlawanan persahabatan bawah 17 tahun (U-17) yang berlangsung di Stadium Multimedia University (MMU), di sini, semalam.

Perlawanan yang bermula pada jam 3.30 petang itu dianjurkan oleh Ijazamaxx Sport Malaysia dan menjadi platform penting bagi pendedahan antarabangsa pemain-pemain muda dari kedua-dua negara, selaras dengan pembangunan bola sepak akar umbi serantau.
Jurulatih Pasukan Tunas Lagenda, En. Idwan, menyifatkan perlawanan persahabatan seperti ini sebagai medan penting untuk menilai potensi serta meningkatkan pengalaman kompetitif pemain muda.

“Pendedahan ke peringkat lebih tinggi amat penting untuk perkembangan pemain. Perlawanan seperti ini membantu mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan, walaupun keputusan tidak memihak kepada kami,” katanya.

Sementara itu, CEO Ijazamaxx Sport Malaysia, En. Jafri Ngah Ali, berkata kehadiran pasukan SKO Sumbar ke Malaysia adalah bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan hubungan sukan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau turut memaklumkan bahawa perlawanan ini bukan penutup kerjasama, sebaliknya akan diteruskan dengan lawatan balasan Pasukan Tunas Lagenda ke Padang, Indonesia pada April 2026, yang dijangka menyajikan satu lagi pertembungan sengit.

Sebagai penghargaan, SKO Sumbar membawa pulang Piala Pusingan, manakala semua pemain dari kedua-dua pasukan menerima pingat dan sijil sebagai kenang-kenangan. Penganjur turut menyampaikan cenderamata kepada pengadil yang bertugas sebagai tanda penghargaan atas profesionalisme mereka memastikan perlawanan berlangsung dengan adil dan lancar.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai pasukan, jurulatih, pembantu jurulatih serta krew sokongan yang terlibat secara langsung dalam menjayakan acara ini.

Ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada penaja dan rakan strategik antaranya Multimedia University (MMU) Cyberjaya, Iman World Leisure, Hundred Plus, Bank Rakyat, UTV Media, serta seluruh pasukan bertugas termasuk En. Kamal, En. Idwan, jurulatih, jurugambar dan kru produksi.

Perlawanan persahabatan ini bukan sahaja mencipta kenangan manis buat kedua-dua pasukan, malah menjadi bukti komitmen berterusan dalam melahirkan bakat bola sepak muda yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *