Yayasan Tun Razak Terima Peruntukan RM100,000 Laksana Program Kepimpinan Belia

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Yayasan Tun Razak menerima peruntukan berjumlah RM100,000 bagi melaksanakan program kepimpinan belia berimpak tinggi, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata peruntukan itu disalurkan bagi menyokong usaha membangunkan barisan pemimpin muda dalam kalangan belia melalui penganjuran program kepimpinan Yayasan Tun Razak 2026 (TRF LEAP).
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menimba ilmu dan membina jaringan profesional, malah membolehkan mereka memainkan peranan sebagai ejen perubahan sosial dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian negara.

Dalam pada itu, Aaron berharap Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dapat menghidupkan semula Memorial Tun Razak menerusi aktiviti dan pameran yang lebih interaktif serta relevan, khususnya untuk menarik minat golongan muda dan pelajar.
Beliau turut memaklumkan Yayasan Tun Razak akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu tahun ini menerusi empat program utama, termasuk penerbitan dokumentari Tun Razak, The Requiem, penerbitan buku Leadership: The Razak Way, penerbitan semula karya Puisi Mengenang Negarawan Ulung bersama Muzium Pahang serta penganjuran program akademik di Universiti Oxford.
Program tersebut mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI dalam menyemai nilai kenegaraan, patriotisme dan semangat pengorbanan tokoh negarawan dalam pembinaan negara bangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *